Rebel Umno cabar Tengku Adnan berdebat

Rebel Umno cabar Tengku Adnan berdebat

Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) mencabar Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk berdebat menyatakan pendirian terhadap beberapa isu membabitkan Timbalan Presiden Umno, Ketua Bahagian dan Ketua Cawangan yang berkaitan dengan tindakan disiplin parti.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kamarulazman Habibur RahmanGabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) mencabar Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk berdebat menyatakan pendirian terhadap beberapa isu membabitkan Timbalan Presiden Umno, Ketua Bahagian dan Ketua Cawangan yang berkaitan dengan tindakan disiplin parti.

Pengerusinya, Kamarulazman Habibur Rahman membuat kenyataan untuk mencabar Tengku Adnan berdebat kerana beliau mendapati Ahli Parlimen Putrajaya itu tidak berlaku adil terhadap pemimpin dan ahli parti ketika melaksanakan tanggungjawabnya sebagai setiausaha agung parti.

“ Saya cabar beliau untuk berdebat dengan saya kerana tidak tanduknya terhadap Timbalan Presiden Umno yang selalu dianggap menentang Umno dan tidak sehaluan dengan Presiden.

“Beliau juga tidak berlaku adil dalam memberikan pandangan kepada enam ketua cawangan yang digantung keahlian dan  tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap 14 Ketua Bahagian dalam krisis Menteri Besar Kedah baru-baru ini,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline dalam satu majlis diadakan di Port Dickson petang tadi.

Dalam Majlis Penghargaan Program Tuisyen Percuma yang diadakan di Balai Raya Taman Intan Duyung di sini, dirasmikan oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyidin Yassin. Turut hadir di kalangan ahli jawatankuasa GKCM dan jawatankuasa penduduk taman berkenaan.

Dakwa Kamarulazman lagi, Tengku Adnan adalah individu yang akan memusnahkan Umno di atas segala tindakan yang dilakukannya dalam menangani krisis dalaman pemimpin dan ahli parti.

“Saya tak takut. Saya nak cabar Tengku Adnan atas beberapa perkara yang saya anggap beliau sebenarnya akan memusnahkan Umno.

“Apa yang saya mahu hak kesaksamaan untuk kita berdebat dalam beberapa isu.

“Adakah dia seorang pemimpin yang layak untuk memegang jawatan itu jika hanya berperanan mempertahankan Presiden Umno semata-mata?

“Beliau sudah ambil tindakan mengantung keahlian enam Ketua-ketua Cawangan sepatutnya beliau juga boleh mengantung ahli yang mengesyorkan supaya Mukhriz dipecat membabitkan 14 Ketua-ketua Bahagian.” ujarnya.

Malah katanya, usaha GKCM untuk mengadakan majlis gotong royong bersama penduduk di kawasan itu dengan  Jawatankuasa  Penduduk / Surau juga turut dihalang oleh Umno kerana gabungan itu menjemput Muhyiddin.

“Saya adalah Pengerusi Surau Al Jamaliah di Taman Intan Duyung ini, ironinya dulu ketika surau ini mahu dibina dua tahun lalu Tan Sri Muhyiddin lah yang menyumbangkan RM5,000 sebelum beliau dipecat dari jawatannya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan.

Kamarulazman (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Tan Sri Muhyiddin  (tengah) selepas merasmikan  majlis penghargaan Program Tuisyen Percuma yang diadakan di Taman Intan Duyung.“Dengan duit itulah kita dapat membeli kerusi meja di dewan dan keperluan surau. Tetapi kenapa pula nak ditahan beliau (Muhyidin) daripada datang ke majlis yang kami jemput ini?

“Hari ni saya dimaklumkan akan dipecat pula sebagai pengerusi surau. Sedangkan sebelum ini pun ada ura-ura Umno nak pecat saya hingga kini surat pemecatan belum lagi saya terima.

“Sebab tu saya nak berdebat dengan sahabat baik saya itu (Tengku Adnan) secara terbuka,” ujarnya.

Beliau menambah senario hari ini Umno dilihat menyekat kebebasan bersuara dikalangan pemimpin dan ahli parti di mana-mana sahaja program yang dilakukan oleh GKCM.

“Sebarang perbezaan pendapat mahu disekat ini menjadikan Umno bukan lebih ke hadapan sebaliknya keterbelakang dari segi kebebasan bersuara kerana ada unsur mahu ‘mengunci mulut orang’  supaya tidak bercakap atau memberikan ide untuk kuatkan Umno.

“Di Malaysia jika ada bangsa Melayu dan bumiputera yang mahu bangkit untuk menguatkan parti sebaliknya di suruh diam ini amat menjijikkan.

“Ahli Jawatankuasa program ini yang berani menjemput Muhyiddin untuk hadir berucap  bukan satu kesilapan atau melanggar perlembagaan parti. Oleh itu  tidak perlu mana-mana pihak dalam Umno berusaha untuk menghalangnya pula.

“Saya dan jawatankuasa saya bukan pengecut,” tegasnya.

 

TAGS