GKCM mahu ahli Umno berani tolak TPPA

GKCM mahu ahli Umno berani tolak TPPA

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) antara kumpulan yang turut hadir Bantah TPPA menyatakan pendirian mereka untuk bersama mengenepikan fahaman politik dan perbezaan kaum untuk  menolak Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) walaupun ahli parti itu sendiri tidak menunjukkan tanda sokongan terhadap demontrasi Bantah TPPA yang diadakan hari ini.

Pengerusi GKCM, Kamarulazman Habibur Rahman ketika berucap di pentas sama berkata,atas dasar ‘Berani kerana Benar’ mahu TPPA ini tidak dilaksanakan oleh kerajaan.

“TPPA dibuat oleh Najib untuk Najib sendiri !Tidak mungkin dibuat melalui sepakat kabinet lain kerana Menteri dan Ketua-Ketua Bahagian Umno diumpamakan seperti burung camar yang hanya tahu mengekori bot nelayan dan menunggu diberikan makan ikan-ikan buangan oleh para nelayan.

“Mereka sudah tidak boleh berfikir kerana hanya mengharap sesuatu dari Presiden,” ujarnya secara sinikal.

Beliau turut menyebut tentang perjanjian Bangkok yang dijadikan contoh bagaimana pihak barat beranggapan untuk membuat perjanjian dengan pembesar-pembesar Melayu adalah satu perkara yang mudah ( will be done without much difficulty) sebab mereka tahu pembesar-pembesar ini senang sangat dipengaruhi.

“Tidak pernah berlaku dalam mana-mana perjanjian perdagangan antara kita dengan pihak barat yang memberi keuntungan kepada kita. Hanya menguntungkan pihak barat,” ujarnya.

Lebih kurang 2,500 penyokong Bantah TPPA hadir di Padang Merbok hari ini untuk bersama menolak TPPA.

Selain penyertaan parti politik beberapa NGO juga turut hadir.

TAGS