GPMS selar MCA cadang kerajaan iktiraf peperiksaan UEC

GPMS selar MCA cadang kerajaan iktiraf peperiksaan UEC

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) membidas parti MCA yang mendesak kerajaan untuk mengiktiraf peperiksaan Unified Examination Certificate (UEC) bagi kemasukan ke universiti awam.

Presidennya Zamri Mohd Isa berkata, UEC tidak menepati piawaian dasar pendidikan negara kerana menguna pakai kurikulum yang diciplak dari Taiwan.

“Pengiktirafan kepada UEC bermakna mengenepikan sama sekali dasar pendidikan kebangsaan dan tidak harus wujud dua sistem peperiksaan di negara ini.

“GPMS berpendapat, kerajaan tidak harus sama sekali menimbangkan usul MCA berkenaan memandangkan UEC tidak dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan tetapi oleh jawatankuasa yang dilantik, jadi ketelusannya adalah diragui,” ujarnya dalam satu kenyataan.

MCA melalui resolusi mereka dalam Mesyuarat Agung Tahunannya yang ke-63 baru-baru ini telah menggesa pihak kerajaan untuk mengiktiraf Sijil UEC yang dikendalikan oleh badan persendirian menerusi jawatankuasanya iaitu Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina

Menurut Zambri lagi, lepasan SPM mesti diberi keutamaan kerana hanya sistem peperiksaan SPM yang menepati piawaian dasar pendidikan kebangsaan.

“Tidak harus wujud pelbagai aliran dalam sistem pendidikan kebangsaan, terutama yang berasaskan kaum. Kepelbagaian aliran pendidikan, ditambah lagi dengan gesaan MCA supaya UEC diiktiraf, akan meruntuhkan integrasi nasional dan memburukkan polemik perkauman di negara ini.

“GPMS berharap agar pihak kerajaan tidak sama sekali melayan gesaan pihak MCA agar diberikan pengiktirafan ke atas peperiksaan UEC yang sama sekali bertentangan dengan dasar pendidikan kebangsaan,” ujarnya.

TAGS