Guan Eng percaya exco bebas rasuah, sedia kerjasama dengan SPRM

Guan Eng percaya exco bebas rasuah, sedia kerjasama dengan SPRM

Kerajaan Pulau Pinang tidak akan melindungi mana-mana pegawai yang didapati bersalah kerana rasuah namun percaya anggota exco kerajaan negeri Phee Boon Poh tidak terlibat dalam perkara itu.

“Harapan kami ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan adil dalam siasatan mereka tanpa mengambil kira sama ada ia membabitkan seorang dari Pakatan Harapan atau Barisan Nasional.

“Jika Boon Poh salah, kami tidak akan melindunginya. Sebaliknya kami akan menyokong sebarang tindakan yang diambil terhadapnya.

“Tetapi kami percaya kepada Phee bahawa beliau tidak menerima sebarang rasuah dan tidak mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

“Kami yakin beliau tidak bersalah. Kami bersedia untuk bekerjasama, kami harap ia (siasatan) dapat dilakukan dengan betul, adil dan saksama,” kata Guan Eng kepada pemberita di luar pejabat SPRM Pulau Pinang malam tadi.

Beliau bersama kira-kira 100 orang hadir ke pejabat SPRM susulan penahanan Boon Poh.

Guan Eng berkata, Boon Poh adalah orang yang berorientasikan akar umbi walaupun beliau merupakan “exco terkaya” di Pulau Pinang.

Boon Poh hari ini ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.

Perintah reman sehingga 16 Ogos itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Ameera Mastura Khamis selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

Terdahulu, beberapa exco kerajaan negeri Pulau Pinang dan anggota dewan undangan negeri (ADUN) bersama penyokong berkumpul di perkarangan mahkamah dengan membawa sepanduk sebagai tanda solidariti kepadanya.

SPRM menahan Boon Poh pada 3.35 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang bersama Rayer selepas pejabatnya di tingkat 53, bangunan Komtar di sini dikunjungi lima pegawai SPRM pada 11.30 pagi.

TAGS