Hadi minta tangguh, timbalan menteri Umno kata Pas mahu segera

Hadi minta tangguh, timbalan menteri Umno kata Pas mahu segera

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Akhbar Utusan Malaysia hari ini menyiarkan semula jawapan timbalan menteri Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung apa yang dianggap 10 salah faham tentang pindaan Akta 355.

Semakan Malaysia Dateline mendapati artikel sama telah disiarkan oleh Sinar Harian Online bertarikh 1 Jun lalu yang memuatkan alasan mengapa pembentangan itu wajar disegerakan melalui usul persendirian walaupun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat semalam meminta supaya huraian pindaan terhadap usul asal ditunda pada sesi akan datang.

Akibatnya, kenyataan Asyraf iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri tentang pendirian Pas yang kononnya mahu menyegerakan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 turut tersiar sekaligus bercanggah dengan apa diputuskan Abdul Hadi semalam.

“Pas dalam dalam konteks ini tidak terikat dengan prosedur ini (tertib yang banyak perlu dilalui Menteri) dan mereka bersungguh-sungguh mahu dipercepatkan RUU ini dibentangkan,” ujarnya yag didakwa jawapan beliau dalam sesi Dialog dan Soal Jawab dengan pemimpin bukan Islam khususnya MCA dan Gerakan Kelantan di Kota Bharu sebelum ini.

Menurut Asyraf yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, proses untuk membentangkan RUU bagi meminda Akta 355 lebih mudah jika dimulakan sebagai Usul Persendirian.

Hal ini kerana, jelasnya, kerajaan terikat dengan proses dan tertib untuk berbuat demikian termasuk meyakinkan Jemaah Menteri yang terdiri dari parti-parti bukan Islam.

Dalam hal berkaitan, akhbar Utusan Malaysia hari ini dilihat memberi liputan utama terhadap bacaan pindaan kepada usul asal Abdul Hadi di Parlimen berkaitan isu RUU 355 itu di muka depan dengan tajuk “RUU 355 dibentang”.

Tidak cukup dengan itu, Utusan Malaysia turut menyiarkan laporan berita berkaitan ‘kejayaan’ Presiden Pas itu di tiga halaman akhbar yang dikuasai Umno tersebut.

Bahkan editorialnya, Awang di ruangan Bisik-bisik di muka surat 12 menganggap semua pihak tidak harus terburu-buru membuat kesimpulan kerana perjalanan RUU 355 masih jauh dan perlu melalui pelbagai prosedur.

TAGS