Hak mutlak kerajaan negeri halang Mohamad Sabu masuk Sarawak, kata KDN

Hak mutlak kerajaan negeri halang Mohamad Sabu masuk Sarawak, kata KDN

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata halangan terhadap Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu atau Mat Sabu daripada memasuki Sarawak adalah hak mutlak kerajaan negeri.

Katanya, KDN tidak perlu dimaklumkan mengenai tindakan menghalang mana-mana individu memasuki Sarawak kerana ia merupakan hak Jabatan Imigresen negeri.

Bercakap kepada pemberita di Sibu semalam, Jazlan menjelaskan KDN hanya bertanggungjawab kepada Akta Imigresen 1959/63 di Semenanjung manakala Akta Imigresen di Sabah dan Sarawak ia adalah di bawah kuasa kerajaan negeri itu sendiri dalam membuat keputusan atas apa-apa alasan. Undang-undang itu mutlak.

Mengulas lanjut berkenaan isu ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Sabah dan Sarawak mempunyai autonomi tertentu termasuk kuasa Jabatan Imigresen dan mereka berhak berbuat demikian atas alasan-alasan tertentu.

Menurut Salleh, berkemungkinan kerajaan Sarawak mempunyai alasan yang tertentu untuk menghalang mana-mana individu dan keputusan tersebut haruslah dihormati.

Semalam Mohamad telah dihalang memasuki Sarawak.

Pegawai Khasnya, Mohd Azahar Md Dali berkata, Mat Sabu telah ditahan di Lapangan Terbang Sibu sebaik tiba dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA), kira kira jam 10.35 pagi tadi.

Katanya, Mat Sabu telah diarah pulang semula ke KLIA menerusi pesawat yang sama, kira-kira jam 11.50 pagi.

“Kita tidak dimaklumkan sebab Mat Sabu (dilarang memasuki Sarawak). Itu yang kita juga agak hairan sebab pada kita beliau berjuang di bawah prinsip demokrasi dan kita ikut lunasi demokrasi… Sarawak ini sebahagian daripada Malaysia.

“Jadi bila beliau (Mat Sabu) dilarang itu kita sangat terkejut dengan arahan (tidak dibenarkan masuk ke Sarawak). Sebagai rakyat yang patuh kita ikutlah undang-undang itu dulu,” katanya.

Malah Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir dalam satu kenyataan media semalam turut berkata,insiden yang tidak disangka itu menyangkal sangkaan Amanah bahawa Adenan berbeza berbanding pemimpin sebelumnya adalah meleset dan silap.

“Sikap angkuh yang ditunjukkan oleh Adenan menyaksikan betapa beliau masih di dalam kerangka pemikiran sempit politik lama seperti diamalkan bekas Ketua Menteri sebelumnya.” ujar Mohd Anuar.

TAGS