Hakim baru akan dengar saman Maria pada Jamal

Hakim baru akan dengar saman Maria pada Jamal

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini mendengar saman Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah ke atas Datuk Seri Jamal Md Yunos meminta beliau digantikan daripada kes berkenaan.

Menurut peguam Maria Chin, N Surendran perkara itu dimaklumkan oleh hakim Mohd Zaki Abdul Rahman yang menggantikan S Nantha Balan itu.

Kata Surendran makluman itu disampaikan Mohd Zaki di dalam kamarnya.

“Hakim Mohd Zaki berkata beliau dan Nantha Balan menguruskan kes di mahkamah masing-masing dikenali sebagai mahkamah sivil NCVC 10 dan NCVC9.

“Hakim Nantha Balan meminta untuk menarik diri dan digantikan. Sebab itu Mohd Zaki mengambil alih kes berkenaan dan ia dimaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed,” katanya kepada Malaysiakini.

Surendran menjelaskan Mohd Zaki membuat penjelasan itu bagi mengelakkan kekeliruan ekoran laporan media mengenai pertukaran berkenaan.

Minggu lalu media melaporkan peguam Maria Chin tertanya-tanya mengapa kes membabitkan ketua Umno Sungai Besar itu dikendalikan hakim lain tanpa sebarang alasan.

Awal Oktober lalu, Maria memfailkan saman terhadap Jamal kerana didakwa membayangkan Bersih itu sebagai ejen kumpulan militan IS.

Pada 28 September lalu, Maria mendakwa Jamal melontar kata-kata berbaur fitnah terhadap Bersih pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

TAGS