Halang ke luar negara: Zunar akan cabar KPN dan KP Imigresen di mahkamah

Halang ke luar negara: Zunar akan cabar KPN dan KP Imigresen di mahkamah

"Mereka boleh mengharamkan kartun saya, mereka boleh mengharamkan perjalanan saya, tetapi mereka tidak akan dapat mengharamkan minda saya," ujar kartunis prolifik Zunar.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

“Mereka boleh mengharamkan kartun saya, mereka boleh mengharamkan perjalanan saya, tetapi mereka tidak akan dapat mengharamkan minda saya,” ujar kartunis prolifik Zunar.

Kartunis prolifik Zunar dihalang dari keluar negara oleh pihak Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)  dakwanya atas arahan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque berkata, kejadian yang berlaku semalam jam 2 petang itu sewaktu beliau dalam perjalanan ke Singapura untuk menghadiri sebuah forum di sana.

“Semalam 17 Oktober 2016, jam 2 petang, dalam perjalanan ke Singapura untuk sebuah forum, saya telah dihalang dari keluar negara oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Saya diberitahu oleh pegawai tersebut bahawa arahan datangnya dari pihak polis. Setelah menyemak lebih lanjut seorang pegawai imigresen memberitahu bahawa arahan itu datang dari Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri dan ia berkuatkuasa sejak 24 Jun 2016.

“Berdasarkan undang-undang, KPN dan Ketua Pengarah Immigresyen tidak punya hak untuk menghalang saya dari keluar negara. Hanya mahkamah mempunyai kuasa tersebut, itu pun hanya boleh dijalankan menurut undang-undang tertentu,” ujarnya dalam kenyataan itu.

Zunar  sempat merakamkan gambarnya ketika ditahan pegawai Imigresen di KLIA semalam.

Justeru Zunar berkata tindakan pihak berkuasa negara ni menghalangnya keluar negara satu tindakan bermotif politik.

“Tindakan menghalang saya dari keluar negara adalah satu tindakan bermotif politik dan berniat jahat serta bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

“Ia juga bertentangan dengan deklarasi hak asasi manusia sejagat.

“The International Covenant on Civil and Political Rights artikel 12 menyatakan dengan jelas bahawa setiap orang mempunyai kebebasan untuk ke luar negara, ini termasuk negara sendiri. Selanjutnya deklarasi itu menjelaskan bahawa hak-hak tersebut tidak boleh disekat kecuali jika diperuntukkan di bawah undang-undang, keperluan keselamatan negara, ketenteraman awam atau kesihatan.

“Walau pun saya sedang menghadapi sembilan tuduhan di bawah Akta Hasutan, saya belum didapati bersalah kerana kes saya hanya akan mula didengar pada 22 November depan.

“Jelas tindakan ini merupakan penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran hak asasi oleh KPN dan Ketua Pengarah Immigresen.

“Saya akan cabar undang-undang tentang pengharaman perjalanan ini dan akan mengheret Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pengarah Imigresen ke mahkamah,” tegasnya.

Zunar berkata tindakan PDRM dan Imigresen itu bertujuan menyekatnya terus melukis kartun untuk mendedahkan rasuah dan ketidakadilan berlaku.

Tahun lalu, pihak berkuasa telah mendakwa beliau dengan sembilan rekod tuduhan di bawah Akta Hasutan dengan hukuman kemungkinan maksima 43 tahun penjara kerana komennya dalam twitter.

Sebelum itu, beliau juga pernah dua kali dilokap di bawah Akta Hasutan – pertama kali pada tahun 2010 untuk dua hari dan pada Februari 2015 untuk tiga hari. Selain lima buku kartunnya diharamkan dan pejabatnya juga telah beberapa kali diserbu penguasa dan ribuan buku kartunnya dirampas.

“Turut terbabit kilang pencetak dan kedai-kedai buku diseluruh negara diserbu dan mereka diugut akan ditarik lesen perniagaan sekiranya terus mencetak dan menjual buku-buku saya.

“Pada Oktober 2014, tiga pembantu jualan saya ditangkap. Selain itu, webmaster yang mengendali penjualan online buku-buku saya juga disoal siasat oleh pihak polis.

“Saya ingin menegaskan akan terus melukis sehingga ke titisan dakwat terakhir. Bakat bukan anugerah tapi sebuah tanggungjawab.

“Mereka boleh mengharamkan kartun saya, mereka boleh mengharamkan perjalanan saya, tetapi mereka tidak akan dapat mengharamkan minda saya,” ujarnya.

TAGS