Halau duta Myanmar, panggil pulang duta Malaysia, tegas Pemuda Amanah

Halau duta Myanmar, panggil pulang duta Malaysia, tegas Pemuda Amanah

Pemuda Amanah Nasional mendesak Kerajaan Malaysia membekukan hubungan diplomatik dengan Myanmar ekoran tindakan tidak berperikemanusiaan tentera negara tersebut melancarkan kempen 'pembersihan etnik' masyarakat Islam Rohingya di wilayah Arakan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemuda Amanah Nasional mendesak Kerajaan Malaysia membekukan hubungan diplomatik dengan Myanmar ekoran tindakan tidak berperikemanusiaan tentera negara tersebut melancarkan kempen ‘pembersihan etnik’ masyarakat Islam Rohingya di wilayah Arakan.

Memorandum kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman itu diserahkan di Putrajaya petang semalam oleh Ketua Pemuda Amanah Nasional, Sany Hamzan dan diterima Ketua Penolong Setiausaha (CLMV) Kementerian Luar Negeri, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi.

“Telah berminggu lamanya Arakan terus dikepung dan pembunuhan demi pembunuhan dilakukan tentera Myanmar.

“Ribuan warga Rohingya, kanak-kanak, wanita dan orang tua terpaksa menyelamatkan diri dalam keadaan kiri dan kanan mereka tertutup rapat untuk bantuan luar.

“Berdasarkan kepada operasi ketenteraan besar-besaran yang telah digerakkan di daerah Maungdaw dan merebak di seluruh Arakan, ‘genocide’ pada skala mega sedang berlaku,” tegas Sany.

Menurut beliau, puluhan ribu askar Myanmar telah dikerah ke kawasan berkenaan menggambarkan seolah-olah Myanmar sedang berada dalam zon peperangan sedangkan tentera negara tersebut sebenarnya ‘memerangi’ kumpulan yang tidak berupaya dan bersenjata.

Pembakaran puluhan perkampungan dan ribuan rumah warga Rohingya termasuk masjid oleh tentara Myanmar, ujarnya sudah dilaporkan media antarabangsa.

“Jelas pembersihan etnik Rohingya sedang dilancarkan membabitkan tentera dan ekstremis agama yang dibekalkan dengan senjata.

“Laporan bayi dibunuh dengan kejam dan dicampak ke dalam api yang marak membakar menunjukkan kezaliman tentera Myanmar sudah berada di tahap kemuncak.

“Keadaan kini jauh lebih parah berbanding serangan pada 2012 kerana serangan ke atas kampung-kampung Rohingya kali ini dilancarkan bersama tentera yang lengkap bersenjata,” kesal beliau.

Menyedari situasi yang gawat itu, Pemuda Amanah Nasional menggesa Kerajaan Malaysia melaksanakan lima perkara iaitu membekukan segera hubungan diplomatik dengan Myanmar; memanggil pulang Duta Malaysia di Myanmar; menghalau Duta Myanmar di Malaysia pulang ke negara mereka; segera memanggil persidangan OIC bagi membincangkan dan melaksanakan langkah perlu untuk membantu etnik Rohingya; dan menghantar tentera pengaman ke lokasi bergolak.

Semua langkah ini, tegas Sany perlu dilaksanakan sehingga Myanmar menghentikan serangan ke atas etnik minoriti Myanmar dan bertanggungjawab penuh atas jenayah yang telah mereka lakukan.

Sany dan rombongan Amanah Nasional setelah menyerahkan memorandum kepada Menteri Luar.

TAGS