Calon Melayu presiden Singapura perkenal slogan, pasukan kempen

Calon Melayu presiden Singapura perkenal slogan, pasukan kempen

Calon presiden Singapura Halimah Yacob memperkenalkan slogan kempennya iaitu “Lakukan yang baik, lakukan bersama” (Do Good Do Together), dalam satu sidang media pagi tadi.

Semasa sidang media di One Marina Boulevard itu, Halimah mengajak semua warga Singapura menyertainya membina sebuah masyarakat cemerlang yang ‘inklusif dan progresif’, lapor Berita Harian.sg.

Mantan Speaker Parlimen itu yang berundur daripada politik awal bulan ini untuk bertanding dalam pilihan raya presiden September akan datang memilih slogan itu kerana seorang presiden harus menyatukan rakyat.

“Saya percaya kita boleh melakukan banyak kebaikan… kita dapat melakukan banyak kebaikan untuk semua orang jika dilakukan bersama,” katanya.

Halimah turut memperkenalkan pasukan kempennya yang antara lain merangkumi temannya dan individu yang pernah bekerja dengannya sebelum ini daripada pelbagai segmen masyarakat.

Mereka termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Yusof Ismail; Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Chia Yong Yong; serta Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Mary Liew.

CATEGORIES
TAGS