Hamidah tolak dakwaan ganti Anina, ahli keluarga kuasai jawatan PPBM

Hamidah tolak dakwaan ganti Anina, ahli keluarga kuasai jawatan PPBM

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Hamidah Osman menafikan dakwaan beliau bercita-cita untuk menjadi Ketua Srikandi parti itu setelah penyandangnya Anina Saadudin diturunkan jawatannya kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Datuk Hamidah OsmanNaib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Hamidah Osman menafikan dakwaan beliau bercita-cita untuk menjadi Ketua Srikandi parti itu setelah penyandangnya Anina Saadudin diturunkan jawatannya kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

Beliau yang mesra dipanggil Kak Midah itu cuba menjernihkan keadaan menerusi laman facebooknya berkata, adalah sesuatu yang mustahil beliau memegang dua jawatan sekaligus.

“Kak Midah dituduh oleh adik-adik yang baharu menceburi bidang politik kononnya Kak Midah mahu menjadi Ketua Srikandi Malaysia.

“Dik…adalah sesuatu yang mustahil Kak Midah telah dilantik menjadi Naib Presiden mahu memegang dua jawatan dalam masa yang sama. Ini tak mungkin akan berlaku, mustahil sama sekali. Parti tak akan membenarkan situasi ini terjadi,” ujarnya.

Hamidah yang terbabit dalam politik selama 35 tahun itu adalah bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng sebelum dipecat dari Umno. Beliau menyertai PPBM dan dilantik secara rasmi sebagai Naib Presiden parti itu pada 2 November lalu.

Hamidah juga menafikan dakwaan kononnya beliau mahu adiknya Hamizura Osman mengantikan Anina.

“Kemudian dituduh pula Kak Midah mahu mencatur adik Kak Midah iaitu Hamizura Osman sebagai Ketua Srikandi.

“Ini juga tak mungkin menjadi kenyataan. Mana mungkin dua beradik menjadi Naib Presiden dan Ketua Srikandi dalam masa yang sama seolah olah parti ini kami yang punya.

“Tambahan pula Hamizura masih mentah dan tidak cukup pengalaman politik untuk membimbing Srikandi Malaysia,” ujarnya.

Malah Hamidah juga menolak dakwaan adik beradiknya yang lain akan menguasai PPBM.

“Kita masih ada ayahanda Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Mukhriz yang mempunyai cukup ilmu dan pengalaman dalam menentukan dan membuat keputusan untuk parti dan siapalah kami berbanding mereka.

“Dik…politik perjuangan dalam PPBM ini sangat besar maknanya kepada negara dan kehidupan kita. Gunakanlah pentas ini sebaik mungkin dan berjuanglah kerana agama bangsa dan negara.

“Jangan di ikut perasaan dan nafsu kerana dibimbangi ianya akan menyebabkan kita tergelincir dari landasan perjuangan yang sebenar.

Anina dalam pengakuan di Malaysiakini berkata beliau dilucutkan jawatan dan dimaklumkan mengenai langkah itu beberapa hari lalu oleh Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agungnya, Datuk Shahruddin Md Salleh.

“Depa (mereka) kata saya tidak disyorkan oleh majlis presiden untuk dilantik sebagai ketua Srikandi,” katanya.

Apabila disoal mengenai perkara itu, Anina berkata beliau dimaklumkan hanya dilantik sebagai penaja untuk sayap Srikandi, manakala jawatan pemimpin lain telah disahkan.

TAGS