Hampir semua sekolah ada masalah dengan kontraktor

Hampir semua sekolah ada masalah dengan kontraktor

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tiada slip gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta gaji di bawah paras minimum pekerja dinafikan.

Itu antara pendedahan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan berhubung nasib dialami 51 pekerja di bawah kontraktor pembersihan Time Medi Enterprise oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Jurucakapnya, Mohanarani Rasiah berkata, penafian terhadap hak pekerja sokongan berlaku lebih serius di sekolah luar bandar ekoran ‘kekebalan’ kontraktor terhadap undang-undang.

“Hampir semua sekolah ada masalah dengan kontraktor. Di kawasan kampung lagi dahsyat. EPF tak dapat. Kenaikan gaji tiada. Kontraktor amat kebal.

“Bila JTK (Jabatan Tenaga Kerja) panggil kontraktor, mereka tidak hadir. Akhirnya, pekerja terus ditindas,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas sesi dialog pekerja dengan pihak KPM.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan KPM menyerahkan pembayaran gaji pekerja sokongan terbabit untuk Mei hingga Disember 2015 kepada Jabatan Insolvensi adalah tidak adil.

“Kontraktor Meor Mohsein telah larikan diri dan tidak lagi memainkan sebarang peranan dalam membekalkan perkhidmatan pembersihan di tujuh buah sekolah yang terbabit. Tindakannya melarikan diri melanggar kontrak.

“Tapi pekerja tetap melaksanakan kerja-kerja pembersihan secara peribadi tanpa sebarang bantuan daripada kontraktor Meor Mohsein. Dia juga tidak membekalkan bahan-bahan cuci dan alatan untuk pembersihan kepada sekolah.

“Mengapa harus gaji kami dianggap sebagai aset Meor Mohsein untuk diserahkan kepada Jabatan Insolvensi?” ujar Mohanarani lagi.

Kamarudin AbdullahSementara itu, Setiausaha Bahagian Bahagian Perolehan dan Pengurusan Aset, Kamarudin Abdullah berkata, pihaknya akan berusaha untuk membawa masalah pekerja terbabit termasuk turun ke jabatan pendidikan negeri di seluruh tanah air.

“Kuasa bukan daripada saya tapi saya cuba membawa cadangan tuan-tuan kepada atasan. Buat masa ini 15 orang dijanjikan mendapat RM1,000.

“Ambil dulu duit itu. Buat rayuan balik, tak buat rayuan kami tidak boleh ambil tindakan. Buat surat kepada JTK, buat ‘sk’ (salinan kepada) kami supaya kami dapat ambil tindakan.  

“Saya cuba membetulkan. Bukan kes tuan-tuan saja. Ada lagi lebih daripada tiga kes macam tuan-tuan,” ujar Kamarudin ketika sesi dialog bersama lebih 50 pekerja dan aktivis hari ini.

TAGS