Hanipa Maidin beransur pulih, mula kenali orang sekeliling

Hanipa Maidin beransur pulih, mula kenali orang sekeliling

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Keadaan kesihatan Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin beransur pulih setelah menjalani pembedahan kepala 4 April lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Timbalan Setiausaha Agung Amanah Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus menerima perkhabaran menggembirakan itu daripada waris Hanipa.

“Alhamdulillah, perkembangan YB Hanipa semakin baik hari ini. Beliau sudah mula sedar, mengenali orang sekeliling dan menggerakkan tangan dan kaki.

“Perkembangan positif ini dimaklumkan kepada saya sebentar tadi oleh waris beliau.

“Teruskan berdoa agar YB Sepang kita cepat sembuh dan diberikan kesihatan yang baik,” ujar Ahmad Kerdee menerusi applikasi Whatsapp.

Hanipa didapati pengsan di Dewan Rakyat petang 4 April lalu ketika sidang dewan berhenti rehat dan dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau kemudiannya dipindahkan ke wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi rawatan selanjutnya.

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Amanah itu dibawa keluar dari persidangan Dewan Rakyat ketika perbahasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengenai Rang Undang-Undang Syarikat 2015.

Pegawai perubatan parlimen memaklumkan Hanipa muntah-muntah dan tekanan darah peguam itu melonjak tinggi mencecah 250/110.

TAGS