Hanya “ikan bilis” ditangkap jika BOK SPRM dikecilkan

Hanya “ikan bilis” ditangkap jika BOK SPRM dikecilkan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pengecilan Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memungkinkan hanya perasuah tahap “ikan bilis” yang akan ditangkap dan didakwa, kata penasihat DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata SPRM pernah menangani kes besar berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), justeru langkah pengecilan itu memperkecilkan komitmen negara melawan rasuah.

“Mesej yang disampaikan sangat jelas – SPRM harus tangkap dan dakwa lebih ramai “ikan bilis” tetapi jangan kacau “ikan yu”.

“China boleh tangkap dan penjarakan ‘harimau’ manakala Indonesia pula sambar “buaya” dalam kempen anti-rasuah mereka, tetapi Malaysia tidak boleh tangkap “ikan yu”,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mengulas mengenai kemungkinan bahagian yang ditubuhkan 5 tahun lalu untuk menyiasat rasuah berprofil tinggi mencecah RM1 juta dan ke atas itu distruktur semula atau dikecilkan.

Beberapa kes berprofil tinggi yang pernah ditangani bahagian itu termasuk SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB yang kini di bawah Kementerian Kewangan, dan pembelian hartanah di London oleh Felda.

Ia turut menyiasat satu kes rasuah jutaan ringgit di Sabah.

TAGS