‘Harapan gempur, Umno diam dalam kubu’

‘Harapan gempur, Umno diam dalam kubu’

Negeri Johor menyaksikan kehadiran rakyat ke dua ceramah melibatkan dua kumpulan parti politik terkuat di Malaysia, semalam.

Satunya ceramah BN di Sembrong, Kluang manakala satu lagi di bandar Kota Tinggi melibatkan Pakatan Harapan (Harapan).

Menurut Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor, Suhaizan Kaiat, fenomena ini menggambarkan terdapatnya gelombang rakyat yang telah memenangkan Harapan dari segi pandangan kasarnya.

Menurut beliau lagi, kedua-dua kumpulan parti politik ini berada dalam dua keadaan yang berbeza apabila BN menetap di kubunya dan Harapan telah memberanikan diri untuk masuk ke Kota Tinggi iaitu kubu yang selama ini dikuasai BN.

“Kehadiran Presiden Umno di Sembrong adalah sebuah cerminan kepada beliau hanya mampu berkampung serta bersembunyi di kawasan atau kubu kuatnya sahaja.

“Berbeza dengan gerakan penerangan yang dilakukan oleh Harapan di Johor yang telah mengadakan program di kubu kuat Umno selaku parti lawannya iaitu Kota Tinggi dan mendapat sambutan yang hangat dari masyarakat,” kata Suhaizan ketika ditemui Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, Umno mulai takut dengan wujudnya gabungan besar parti pembangkang yang baru sahaja distrukturkan pada Khamis yang lalu sehingga membuatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya berani mengadakan program di kubunya sendiri.

Beliau juga tidak terkejut dengan sambutan yang berlaku di Sembrong tetapi berpandangan ceramah Harapan yang menyaksikan kehadiran yang ramai adalah luar dari jangkaan yang sepatutnya.

Ceramah Harapan di Kota Tinggi

“Pihak kami melihat tindakan Presiden Umno itu seperti tidak yakin untuk berhadapan dengan rakyat yang semakin menerima kehadiran Harapan di negeri ini sekaligus ia membuatkan Umno seperti tergugat.

“Sambutan luar biasa dari penduduk tempatan dengan kehadiran menjangkau 5,000 orang tanpa ada sebarang paksaan dan imbuhan yang dikenakan kepada hadirin menyaksikan Harapan mula mendapat sambutan hangat oleh warga Johor,” katanya.

TAGS