Harapan tidak amal hegemoni Umno dalam BN

Harapan tidak amal hegemoni Umno dalam BN

Pakatan Harapan (Harapan) merupakan gabungan empat parti yang bergerak berlandaskan kerjasama politik setara dan setiap keputusan dilakukan secara konsensus, tegas Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Lim Kit Siang“Apa yang Salleh dan pemimpin Umno-BN, propagandis, tentera siber mereka perlu faham adalah Harapan adalah gabungan yang berbeza daripada gabungan Umno-BN.

“Dalam BN, hegemoni Umno diterima sebagai modus operandi oleh 13 parti komponennya, yang mana semakin dipinggir peranannya,” kata Kit Siang dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Salleh Keruak yang mempertikai Harapan yang dikatakan meminggirkan DAP daripada mengisi tiga jawatan tertinggi dalam gabungan itu.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, dalam BN tidak ada keputusan yang dibuat secara konsensus yang ada hanyalah sikap dominan Umno sehinggakan pemimpin parti komponen lain tidak berani untuk menyuarakan mengenai siapa “Malaysia Official 1” dan skandal 1MDB.

Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia merupakan pemimpin Umno pertama yang memulakan serangan secara terbuka terhadap Harapan selepas gabungan itu mengumumkan struktur kepimpinan Khamis lalu.

Beliau dilaporkan mendakwa Harapan bukanlah tandingan BN yang kononnya teruji kerjasamanya antara kaum.

“Saya setuju dengan Salleh bahawa Harapan tidak akan dapat menandingi Umno-BN yang menjadikan Malaysia sebagai ‘kleptokrasi global’ dan kami tidak akan mampu menandingi salah guna kuasa dan korupsi mereka,” kata Kit Siang sinis.

TAGS