Harga minyak dunia AS$55 dan AS$65 setong tahun ini

Harga minyak dunia AS$55 dan AS$65 setong tahun ini

Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangka harga minyak antara AS$55 dan UAS$65 (AS$1 = RM3.97) setong tahun ini berikutan ketegangan geopolitik yang meningkat yang boleh menyebabkan kekurangan bekalan secara tiba-tiba dan mengganggu pasaran seimbang semasa.

Dalam nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu berkata permintaan minyak dunia boleh meningkat lagi sebanyak 1.51 juta tong sehari (bpd) dan bekalan negara bukan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) naik sebanyak 990,000 bpd.

Jurang tersebut dijangka dipenuhi oleh pengeluaran OPEC, yang dijangka sebanyak 33.2 juta bpd, mewakili pertumbuhan sebanyak 700 juta bpd daripada paras 2017, yang membawa kepada pasaran seimbang.

“Menurut unjuran OPEC, pertumbuhan permintaan minyak dunia dijangka sebanyak 1.51 juta bpd pada 2018, didorong oleh pertumbuhan ekonomi global yang baik yang menyokong permintaan bahan api industri dan pembinaan di kawasan Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan bukan OECD.

“Pengembangan dalam sektor pengangkutan dijangka menyediakan sebahagian besar daripada pertumbuhan permintaan minyak,” katanya.

Menurut perjanjian pengurangan pengeluaran OPEC yang terkini, Nigeria dan Libya bersetuju untuk mengehadkan gabungan pengeluaran mereka pada paras 2017 di bawah 2.8 juta bpd, yang akan memberi sokongan yang kukuh kepada harga minyak.

“Gabungan kadar pengeluaran minyak Nigeria dan Libya dari Januari hingga Oktober tahun ini hampir kepada 2.52 juta bpd, mewakili peningkatan sebanyak 57,000 bpd, atau 29.5 peratus, berbanding gabungan kadar pengeluaran pada 2016 sebanyak 1.95 juta bpd,” kata HLIB.

Bank pelaburan itu mengekalkan pendirian neutralnya ke atas syarikat minyak dan gas di bawah liputannya berikutan pemulihan pendapatan secara keseluruhan pada 2018 masih tidak mencukupi untuk membenarkan penilaian semula ke atas sektor tersebut secara keseluruhan.

Antara beberapa perkara positif dalam laporan prospek aktiviti Petroliam Nasional Bhd yang terkini adalah aktiviti penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) yang dijangka terus stabil dalam tempoh beberapa tahun akan datang susulan peningkatan jumlah projek.

“Ini positif bagi penggiat MCM yang utama seperti Dayang Enterprise Holdings Bhd, Petra Energy Bhd dan Sapura Energy Bhd, katanya.

CATEGORIES