Harga minyak mentah dunia terus jatuh

Harga minyak mentah dunia terus jatuh

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Di sebalik pengumuman kenaikan harga minyak oleh kerajaan Malaysia berkuat kuasa tengah malam tadi, harga minyak dunia bagaimanapun terus menunjukkan trend kejatuhan.

Agensi media antarabangsa melaporkan kejatuhan harga di bawah AS$40 setong semalam ekoran keraguan terhadap komitmen Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang masih bermain tarik tali untuk menyertai usaha mengehadkan paras output bagi meningkatkan harga bahan api itu.

Pakar daripada negara-negara OPEC termasuk Azerbaijan, Brazil, Kazakhstan, Mexico, Oman dan Russia yang bertemu di Vienna, Sabtu lalu gagal mencapai kesepakatan sehingga minit terakhir.

Mereka bagaimanapun hanya memutuskan untuk mengadakan pertemuan lanjut bulan depan sebelum mesyuarat OPEC yang dijadual 30 November ini.

Mesyuarat Sabtu lalu sepatutnya mencapai kata putus perjanjian mengehadkan output minyak bagi meningkatkan harga komoditi dunia itu.

Arab Saudi selaku salah sebuah negara pengeluar minyak terbesar dunia dilihat memiliki insentif yang cukup besar untuk membantu permasalah yang sedang dihadapi OPEC ketika ini.

Pada dagangan semalam, harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS masih tertekan di paras AS$46.86 setong manakala harga minyak mentah Brent bagi penghantaran Disember diniagakan turun kepada AS$49.35 setong.

Minyak mentah NYMEX bagi penghantaran Disember juga turun kepada AS$48.34 setong.

Sementara itu, bermula jam 12 tengah malam tadi rakyat Malaysia dipaksa membayar RM1.95 seliter bagi RON95 seliter, RON97 (RM2.30 seliter) manakala diesel pula RM1.90 seliter selepas harga bahan api itu diumumkan naik 15 sen.

Kenaikan itu merupakan peningkatan tertinggi untuk tahun ini berbanding Januari lalu apabila RON95 berada pada paras RM1.85 seliter, RON97 (RM2.25) dan diesel (RM1.60).

TAGS