Harga ubat selepas TPPA, Obama samakan kes lagu cetak rompak?

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Presiden Amerika Syarikat (AS) petang semalam menyamakan isu paten ubat-ubatan di bawah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dimuktamadkan pada 5 Oktober lalu dengan situasi lagu cetak rompak.

Bercakap di hadapan alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) di Taylor’s University di Subang Jaya, Barrack Obama dilihat mempertahankan perjanjian perdagangan melibatkan 12 negara Pasifik itu.

Beliau berkata, tiada siapa mahu mencipta ubat-ubatan baru sekiranya tiada perlindungan harta intelek terhadap ubat-ubatan tertentu.

“Perkara sama jika anda seorang penyanyi dan membuat rekod, tetapi sebaik sahaja anda merakamkan lagu itu, orang lain dengan mudah memuat turunnya tanpa bayaran. Ini akan menjejaskan industri muzik,” ujarnya.

Kenyataan Presiden pertama berkulit hitam di AS itu turut mengundang kritikan pengguna media sosial yang menyifatkan isu harga ubat berkaitan soal hidup dan mati individu berbeza dengan bidang nyanyian atau pencarian juara American Idol.

Mengakui harga ubat-ubatan dijangka naik apabila TPPA disahkan, beliau berkata semua pihak yang terbabit harus bersedia untuk berkorban atau rundingan berkenaan menemui kegagalan.

Walaupun Obama pada masa mengakui kebimbangan masyarakat terhadap paten ubat-ubatan lantaran pengaruh AS dalam industri farmaseutikal dunia, beliau berkata keperluan ubat-ubatan bagi golongan berpendapatan rendah tidak terjejas di bawah TPPA.

“Bahkan, kita harus memansuhkan tarif ke atas beberapa item seperti penisilin dan ubat-ubatan yang berada di pasaran untuk tempoh masa yang sangat lama.

“Dari semasa ke semasa, kita memang yakin kos ubat-ubatan akan turun di kebanyakan negara yang pada masa sekarang mengenakan banyak halangan ke atas ubat-ubatan tersebut,” ujarnya yang tiba di Lapangan Terbang TUDM, Subang, Selangor dengan pesawat Airforce 1 kira-kira pukul 3.45 petang.

Mengulas soalan peserta yang mengaitkan TPPA berjalan penuh rahsia, Obama menjawab perjanjian itu tidak akan dimuktamadkan jika TPPA dirundingkan dalam persekitaran terbuka.

Ujarnya, ada perkara yang perlu dilepaskan oleh setiap negara bagi menjayakan perjanjian perdagangan termasuk membuka beberapa pasaran kepada barangan yang sebelum ini tertakluk kepada tarif.

Menyerlahkan motif kunjungan Presiden AS ke-44 itu untuk dua tahun berturut-turut ke negara ini, Obama menganggap perbincangan yang berpanjangan tidak akan berupaya memuaskan hati semua pihak.

“Jadi, apa kami buat ialah tutup perbincangan,” tegasnya mengakui tidak semua komuniti di negaranya sendiri bersetuju dengan TPPA sekaligus  dilihat menggambarkan sifat diktator negara digelar polis dunia itu juga seperti memberi mesej kepada Najib Razak untuk membuat keputusan sama.

Menurut Obama, beliau masih belum mendapat kelulusan Kongres AS walaupun beliau menganggap TPPA membawa kebaikan dan boleh dipersetujui.

Sesi dialog Obama di Universiti Malaya (UM) tahun lalu dalam kunjungannya kali pertama di Malaysia pada 26 April 2014 menerima reaksi mengejutkan apabila sekumpulan mahasiswa kampus itu mengangkat plakad memprotes TPPA.

Sementara itu, sidang media Najib dan Obama di sebelah malamnya  yang membincangkan antaranya isu keganasan, IS, TPPA dan perubahan iklim tanpa disusuli sesi soal jawab dengan pemberita.

TAGS