Harta Papagomo bakal disita, gagal bayar ganti rugi pada Anwar

Harta Papagomo bakal disita, gagal bayar ganti rugi pada Anwar

Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah nasib yang menimpa blogger kontroversi Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai ‘Papagomo’.

Setelah didapati bersalah memfitnah bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, harta milik beliau bakal disita dan dilelong kerana gagal menjelaskan ganti rugi berjumlah RM850,000 kepada Anwar.

Writ sita dan lelong dihantar kepada Papagomo oleh peguam Anwar, Latheefa Koya yang ditemani pegawai mahkamah di kediaman beliau di Villa Danau Apartment, Danau Kota.

Bagaimanapun, Wan Muhammad Azri dilapor tidak berada di kediamannya untuk menerima writ tersebut.

“Kami akan datang semula untuk menyerahkan notis ini dan akan mendapatkan tarikh baharu daripada mahkamah,” kata Latheefa.

Pada 2014, Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM800,000 dan yuran peguam RM50,000 kepada Anwar setelah didapati bersalah menyiarkan perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan Anwar dalam video seks di blog miliknya.

Pada Mac 2013, Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog miliknya.

Anwar memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri kerana dengan salah dan berniat jahat menyiarkan perkataan lucah dan melampau mengaitkan dirinya.

Dalam penyataan tuntutan itu, defendan meletakkan beberapa pautan web yang memaparkan satu siri imej dengan mengatakan lelaki itu adalah Anwar.

Selain itu, menurut penyataan tuntutan itu juga defendan turut menulis perkataan memfitnah, lucah dan mencarut termasuk membabitkan isteri, anaknya, Nurul Izzah, dan menantunya yang kononnya terlibat dalam aktiviti homoseksual.

TAGS

COMMENTS