Hasan digesa letak jawatan Pengerusi PAC kerana lepaskan Jho Low

Hasan digesa letak jawatan Pengerusi PAC kerana lepaskan Jho Low

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC), Datuk Hasan Arifin perlu meletakkan jawatan jika gagal mengarahkan Jho Low yang dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB tampil memberikan keterangan dalam siasatan yang dijalankan.

Berucap pada majlis rumah terbuka tahun baru Cina DAP Segamat malam tadi, ketua ahli parlimen DAP itu berkata satu kesilapan besar yang dilakukan PAC adalah membatalkan keputusan terdahulu untuk memanggil Jho Low bagi memberikan keterangan dalam siasatan skandal RM55 bilion 1MDB.

“Rakyat awam sedang menanti penjelasan Pengerusi baru PAC, Datuk Hasan Arifin mengapa beliau membatalkan keputusan yang dibuat pengerusi PAC terdahulu, Datuk Seri Nur Jazlan Mohamad yang pada 24 Julai tahun lalu mengumumkan Low Taek Jho akan dipanggil memberikan keterangan di hadapan PAC pada 8 September berkaitan skandal 1MDB,” katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, Nur Jazlan telah ‘ditendang ke atas’ untuk menjawat Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam rombakan yang dibuat Perdana enteri, Datuk Seri Najib Razak pada 28 Julai tahun lalu.

Rombakan itu, ujarnya menyaksikan pemecatan Timbalan Pedana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pembangunan Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, juga pembubaran badan petugas khas yang dianggotai pelbagai agensi untuk menyiasat skandal 1MDB.

Malah langkah ini juga telah ‘mensabotaj’ siasatan PAC terhadap 1MDB yang telah berlangsung selama empat bulan.

Kit Siang juga menyifatkan skandal kewangan RM55 bilion 1MDB dan derma RM2.6 bilion ke akaun Najib sebagai dua skandal mega bertaraf dunia dan terbukti lebih menarik minat umum berbanding rancangan televisyen bersiri yang mempunyai plot dan sub-plot yang rumit.

“Kita belum menyaksikan kesudahan plot dan sub-plot itu menjadikan penonton tertanya-tanya siapa watak baik dan watak jahat sebenar?” katanya penuh sindiran.

Kit Siang turut mendedahkan gaya hidup mewah Jho Low yang bertaraf jutawan dan menjadi buah mulut komuniti kewangan antarabangsa berhubung peranannya dalam syarikat pelaburan kedua negara, 1MDB.

Beliau turut mempersoalkan sama ada ‘pengerusi cari makan’ PAC, Hasan Arifin dan pihak berkuasa Malaysia tidak mengetahui peranan yang dimainkan Jho Low dalam 1MDB sehingga gagal mengarahkan beliau memberikan keterangan dalam siasatan yang dijalankan.

Gaya hidup boros dan mewah jutawan berasal daripada Pulau Pinang itu juga, kata Kit Siang selalu mendapat perhatian media antarabangsa.

Sebagai contoh jutawan muda itu baru-baru ini telah menjual hasil seni Claude Monet, Pablo Picasso, dan Jean-Michel Basquiat dengan harga USD54 juta (RM216 juta).

“Low menjual lukisan 1935 Picasso pada harga USD27.6 juta (RM110.4 juta) sedangkan ia membelinya pada November 2013 dengan harga 45 peratus lebih tinggi – menyebabkan Low kerugian RM50 juta untuk hanya satu lukisan.

“Adakah beliau (Jho Low) rahmat atau perosak Malaysia?” soal Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu sekali lagi menuntut Hasan meletakkan jawatan sebagai pengerusi PAC kerana gagal memanggil Jho Low memberi keterangan dalam siasatan skandal 1MDB.

TAGS