Henti sebar berita palsu, kesihatan ustaz Kazim semakin baik, kata Asyraf Wajdi

Henti sebar berita palsu, kesihatan ustaz Kazim semakin baik, kata Asyraf Wajdi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Keadaan kesihatan pendakwah Datuk Mohd Kazim Elias bertambah baik akui Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang melawat beliau di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, dekat Kota Bharu, hari ini.

Dr. Asyraf Wajdi turut memaklumkan Mohd. Kazim akan menjalani rawatan pemeriksaan pembuluh darah arteri jantung (Coronary Angiopraphy) oleh doktor pakar pagi ini.

Justeru, beliau menasihatkan pihak tertentu agar menghentikan daripada menyebarkan berita mengarut dan palsu yang mendakwa pendakwah bebas itu meninggal dunia.

“Saya tiba di Kota Bharu pagi ini saya terus bergegas ke HUSM untuk menziarahi Datuk Ustaz Kazim di Unit Kardiologi Invasif. Pagi ni beliau akan menjalani rawatan Coronary Angiography bagi memastikan jantungnya benar-benar sihat dan nampak beliau begitu ceria menerima kehadiran saya.

“Alhamdulillah, menurut doktor pakar, keadaannya amat stabil dan bertambah baik. Oleh itu, hentikanlah menyebarkan berita mengarut yang palsu lagi berbaur fitnah mengenai keadaan beliau,” katanya menerusi status yang dimuat naik dalam Facebook beliau pagi ini.

Mohd. Kazim dimasukkan ke HUSM selepas mengadu penat ketika sedang berceramah di pekarangan bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Gunong, Bachok pada jam 9.30 malam.

Ketika itu, beliau baharu memulakan ceramah selama 10 minit sebelum meminta maaf di hadapan kira-kira 2,000 penonton selepas berasa tidak sihat.

Menurut Dr. Asyraf Wajdi, orang ramai sepatutnya mendoakan agar Allah menyembuhkan Mohd Kazim dan mengurniakan kesihatan berpanjangan bagi membolehkannya terus beristiqamah serta bersemangat menyemarakkan agenda dakwah dalam negara ini.

Sementara itu, Mohd. Kazim dikatakan mempunyai luka di bahagian jantung selain jadual ceramah yang padat menyebabkan hos rancangan Kalau Sudah Jodoh di Astro itu mengalami komplikasi jantung.

“Ayuh sama-sama kita doakan agar Allah menyembuhkan Ustaz Kazim dan mengurniakan kesihatan berpanjangan bagi membolehkan beliau terus istiqomah dan bersemangat menyemarakkan agenda dakwah dalam negara,” ujar Asyraf Wajdi.

TAGS