Kos sara hidup: Hentikan ‘mencandu’ mahasiswa, tegas Pemuda Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

 

Biro Mahasiswa Pemuda Amanah Nasional mengajak penuntut di universiti tempatan supaya tidak bersikap pejam mata dengan beban kos sara hidup yang meningkat hanyamembiarkan ia terus mengancam kesejahteraan rakyat berpendapatan rendah demikian kata Ketuanya, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda.

Beliau berkata, gejala ‘mencandu’ pemikiran mahasiswa perlu dihentikan sebaliknya semua pihak tanpa mengira blok ideologi kepartian mahu pun non-partisan berdepan dengan realiti kerosakan dan dasar ekonomi yang terus menekan rakyat.

Ahmad Fadhli yang juga mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, kumpulan aspirasi iaitu pelajar pro-Umno di kampus Universiti Awam (UA) yang memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya kampus tahun ini perlu menyedari trend kenaikan pelbagai kos termasuk yuran pengajian di universiti.

“Adakah mereka tidak sedar tambang ERL dan Komuter akan dinaikkan melebihi 50 peratus?

“Adakah mereka juga tidak sedar tol, tarif elektrik dan keperluan utama rakyat juga akan mengalami kenaikan yang malangnya akan memiskinkan lagi 70 peratus rakyat berpendapatan sederhana ke bawah?” soalnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh mahasiswa berperanan dalam memperjuangkan kualiti hidup yang lebih terjamin.

“Saya ingin menyeru sahabat-sahabat mahasiswa untuk terus menghentikan segala kezaliman ini demi generasi kita dan negara pada masa depan. Ayuh, hentikan kezaliman Umno Barisan Nasional,” ujar Ahmad Fadhli lagi dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Dalam pada itu beliau  mengulas gesaan Presiden Majlis Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Farhan Khairuddin dalam Perhimpunan Agung Umno 2015 lalu, supaya kerajaan memantau pensyarah yang menentang polisi kerajaan Barisan Nasional (BN), beliau berkata, ahli akademik tidak mempengaruhi pelajar untuk menolak parti pemerintah.

“Anak muda sudah muak dengan kerajaan Umno bukan kerana para pensyarah yang cenderung menentang Umno-BN tapi kerana penindasan kerajaan yang mungkin saudara (Farhan) lupa atau menutup mata,” ujarnya.

TAGS