Hibah pelengkap bukan helah elakkan faraid

Mutakhir ini umat Islam di Malaysia sering cuba diyakinkan oleh sesetengah pihak bahawa hibah adalah mekanisma yang efisyen untuk mengelakkan faraid.

Ini menimbulkan salah faham bahawa faraid itu dilihat seakan zalim dan tidak adil.

Kefahaman yang cuba dibentuk ini merupakan suatu kebatilan kerana hibah dan faraid adalah melengkapi dan bukannya mekanisma atau helah untuk mengelakkan daripada melaksanakan hukum Allah SWT.

Seiring dengan rasa tanggungjawab untuk memberi pencerahan kepada masyarakat, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (FSU, USIM) dengan kerjasama Persatuan Hartanah Guaman Malaysia (HartaGuam) telah menganjurkan Seminar Hibah vs Faraid dengan Tema ‘Biar Tahu Jangan Keliru’ pada 21 Oktober 2017.

Seminar ini menampilkan pakar-pakar dalam bidang faraid dan pentadbiran harta Islamyang terlibat secara langsung sama ada dari aspek penyelidikan, amalan perundangan mahupun dari sudut hukum hakam dan perspektif fiqh.

Berikut adalah Resolusi “Seminar Hibah v Faraid: Biar Tahu Jangan Keliru” yang boleh dijadikan garis panduan atau rujukan kepada umat Islam di Malaysia.

Seminar merumuskan bahawa hibah adalah pelengkap dan bukan helah untuk mengelakkan perlaksanaan faraid.

1. Hukum tentang perlaksanaan dan pembahagian faraid telah jelas dinyatakan di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Ia dianggap sebagai Hududullah yang perlu dilaksanakan oleh setiap orang Islam yang beriman.

2. Pembahagian faraid terhadap harta pusaka si mati dibuat selepas ditolak kos urusan jenazah, hutang simati, harta sepencarian dan wasiat si mati. Baki daripada harta pusaka si mati barulah dibahagi bahagikan mengikut faraid.

3. Pembahagian sama rata terhadap harta pusaka simati boleh dibuat dengan syarat semua waris perlu tahu bahagian faraid masing-masing terlebih dahulu dan kesemua waris telah bersetuju dan redho pembahagian dibuat secara sama rata.

4. Hukum pembahagian faraid datang dengan tanggungjawab. Bahagian faraid untuk waris lelaki lebih tinggi berbanding dengan waris perempuan kerana waris lelaki bertanggungjawab untuk menjaga waris-waris perempuan dengan harta pusaka yang diterima, sedangkan waris perempuan hanya bertanggungjawab untuk dirinya sendiri sahaja dan harta faraid yang diterima hanyalah lah untuk dirinya sahaja.

5. Sijil faraid diperlukan untuk mengesahkan waris yang sah yang berhak menerima harta pusaka si mati dan untuk mengesahkan bahagian sebenar yang berhak diterima oleh setiap waris. Walau bagaimanapun ada pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Tanah dan Galian Malaysia yang tidak menyatakan sijil faraid tidak boleh digunakan sebagai instrument untuk urusan pendaftaran perletakanhak atau turun milik di pejabat tanah.

6. Hibah tidak boleh dilakukan semata-mata bertujuan untuk mengelakkan daripada faraid atau sebagai langkah untuk lari daripada faraid kerana merasakan pembahagian faraid adalah tidak adil. Hibah sepatunya dilakukan atas dasar rasa kasih sayang kepada ahli keluarga ikhlas kerana Allah SWT.

7. Hukum hibah yang dibuat untuk tujuan mengelakkan daripada melaksanakan faraid tetap sah dari segi hukum fekah dengan syarat ianya mematuhi semua rukun dan syarat hibah. Cuma dari segi akhlaq sebagai seorang Muslim yang beriman kepada Allah ianya sangat tidak patut dilakukan.

8. Harta yang telah dihibah tidak boleh ditarik balik sekiranya setelah berlakunya penyerahan (qabad), melainkan hibah daripada ibu/bapa kepada anak.

9. Hibah digalakkan dibuat secara bertulis untuk mengelakkan perbalahan di kemudian hari. Dan sebaik-baiknya dapatkan pengesahan hibah daripada Mahkamah Syariah terus untuk mengesahkan hibah tersebut supaya tidak timbul masalah dan perbalahan di kemudian hari terutamanya selepas pemberi hibah meninggal dunia.

10. Hibah hartanah yang tidak didaftarkan pindahmilik, masih dianggap sah asalkan telah berlaku qabad (penyerahan) kepada penerima hibah.

11. Terdapat khilaf dari segi hukum syarak dan juga perlaksaan undang-undang di Malaysia untuk hibah bersyarat atau hibah hartanah yang masih digadaikan kepada institusi kewangan. Setakat ini tiada peruntukan undang-undang bertulis yang khusus tentang hibah bersyarat. Undang-undang yang ada hanyalah berdasarkan kepada keputusan Mahkamah Syariah yang berbeza-beza bergantung kepada fakta sesuatu kes dan bergantung kepada sejauh mana pihak peguam dapat berhujah meyakinkan hakim tentang hibah bersyarat tersebut.

12. Walaupuan secara amalannya Mahkamah Syariah cenderung merujuk kepada pendapat mazhab Syafi’i dalam memutuskan sesuatu kes berkenaan faraid atau hibah, tetapi Mahkamah Syariah tidak semestinya terikat untuk menerima pendapat mazhab Syafi’i dalam memutuskan sesuatu kes berkaitan faraid atau hibah.

13. Perunding pusaka/hibah hendaklah diberikan ilmu dan kefahaman sebenar tentang penghayatan dan perlaksanaan sebenar faraid dan hibah supaya tidak mengelirukan masyarakat atau dilihat untuk mempromosi dan menjual produk hibah mereka semata-mata.

15. Tiada peruntukan undang-undang khusus tentang Hibah bersyarat terhadap hartanah tetapi sudah ada peruntukan khusus di dalam undang-undang yang membenarkan hibah bersyarat pada manfaat takaful.

Moga Seminar ini dapat memberi kesedaran dan pemahaman sebenar kepada masyarakat tentang perlaksaan faraid dan hibah di Malaysia.

Kesimpulannya, hibah bukanlah cara untuk mengenepikan faraid tetapi hibah sewajarnya
menjadi pelengkap kepada faraid itu sendiri.

 

*Penulis adalah pemimpin Persatuan Hartanah Guaman Malaysia (Hartaguam) dan Dekan Fakulti Syariah Undang-undang USIM.

CATEGORIES
TAGS