Hizbut Tahrir dakwa Deklarasi Rakyat bukan suara rakyat

Hizbut Tahrir dakwa Deklarasi Rakyat bukan suara rakyat

 

 

 

 

 

Gerakan Hizbut Tahrir Malaysia mendakwa Deklarasi Rakyat yang ditandatangani 4 Mac lalu diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Matahir Mohammad tidak mewakili rakyat khususnya umat Islam sebaliknya lebih tepat dinamakan ‘Deklarasi 58 Individu’.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Abdul Hakim OthmanGerakan Hizbut Tahrir Malaysia mendakwa Deklarasi Rakyat yang ditandatangani 4 Mac lalu diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Matahir Mohammad tidak mewakili rakyat khususnya umat Islam sebaliknya lebih tepat dinamakan ‘Deklarasi 58 Individu’.

Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia, Abdul Hakim Othman berkata, hal ini kerana tidak ada seorang pun individu yang menandatangani deklarasi tersebut mendapat mandat dari rakyat atau diwakilkan oleh rakyat untuk menandatanganinya.

Beliau berkata, kenyataan 58 tokoh yang menandatangani deklarasi itu bahawa mereka bertindak sebagai rakyat Malaysia dan bukannya mewakili mana-mana parti atau pertubuhan masing-masing sungguh aneh kerana hakikatnya sebahagian besar tokoh yang terliba terdiri daripada ahli dan pimpinan tertinggi parti atau pertubuhan yang selama ini memperjuangkan aspirasi atau kepentingan masing-masing.

“Hakikatnya mereka dijemput kerana mereka adalah pimpinan parti atau pertubuhan tersebut. Apa guna berada dalam parti atau pertubuhan jika pendirian mereka tidak sama dengan pendirian parti atau pertubuhan mereka sendiri?

“Tidak ada seorang pun mana-mana pekerja kilang atau mekanik atau pelajar atau penjual air di tepi jalan, (yang tidak menjadi ahli mana-mana parti) yang dijemput untuk menandatangani Deklarasi Rakyat itu.

“Ini semua hanyalah ‘silap mata’ dan merupakan politik Machiavelli yang diasaskan atas manfaat dengan matlamat menghalalkan cara. Sungguh malang apabila ada ahli parti Islam turut terpalit dalam politik Machiavelli seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan, umat Islam harus bersatu menegakkan pemerintahan Islam, bukan berusaha menjatuhkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak melalui deklarasi semata-mata.

“Berdasarkan jawapan Mahathir, kesemua pihak yang menandatangani deklarasi tersebut tidak memfokuskan siapakah yang bakal menjadi perdana menteri sekiranya Najib berjaya disingkirkan, kerana fokus mereka sekarang hanyalah untuk menjatuhkan Najib.

“Jawapan ini hanyalah ‘jawapan selamat’ dalam rangka menjayakan tuntutan deklarasi tetapi bukannya jawapan yang menyelesaikan masalah.

“Siapa pun dan parti mana pun yang ingin menjatuhkan kerajaan wajib menyediakan diri mereka untuk memikul beban berat pemerintahan sekiranya mereka berjaya menjatuhkan pemerintahan sedia ada. Soal pemerintahan negara bukanlah soal main-main yang boleh dianggap remeh dan boleh diserahkan kepada sesiapa sahaja tetapi adalah satu persoalan besar yang memerlukan persiapan dan persediaan yang menyeluruh dan atas asas kebenaran,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan, kerosakan negara dan masyarakat bukan semata-mata kerana seorang pemimpin tertentu tetapi kerana sistem yang diterapkan.

Segala keburukan yang ada dalam negara katanya, bukan baru berlaku hari ini tetapi sejak selepas merdeka.

“Umno-BN yang memegang suara majoriti di parlimen dan merupakan parti pemerintah sejak dulu, merekalah yang bertanggungjawab melaksanakan sistem sekular dan undang-undang, peraturan dan polisi yang telah membawa kerosakan selama ini.

“Sistem dan udang-undang inilah yang telah menyebabkan ketidakpuasan dan penderitaan kepada rakyat. Parti pemerintah ini yang melantik agensi-agensi penguatkuasaan untuk mempertahankan undang-undang yang batil ini. Merekalah yang menghalang pejuang-pejuang Islam daripada berusaha menerapkan Islam secara kaffah.

“Malah mereka menubuhkan pelbagai jabatan agama dan melantik kelompok agamawan bagi mempertahankan dan menghalalkan segala kejahatan dan keharaman yang mereka lakukan. Justeru, menyingkirkan seorang pemimpin negara sedangkan dalam masa yang sama mengekalkan sistem dan undang-undang sekular yang ada, langsung tidak akan memberi jaminan yang negara ini akan menjadi baik,” katanya.

TAGS