Hormati hak perlembagaan Orang Asli Temiar di Kelantan, kata Pemuda Amanah

Hormati hak perlembagaan Orang Asli Temiar di Kelantan, kata Pemuda Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemuda Amanah menggesa pihak berkuasa membebaskan 47 tahanan Orang Asli Temiar di Gua Musang dengan segera kerana tindakan mereka hanyalah bagi mempertahankan hak dan bukannya satu kesalahan jenayah.

Timbalan Ketua Pemuda Faiz Fadzil berkata, tindakan reman terhadap mereka jelas menunjukkan keluhuran undang-undang dan nilai demokrasi dilihat semakin terhakis di dalam negara ini.

“Undang-undang disalah gunakan demi kepentingan pihak tertentu tanpa mempedulikan hak dan kebebasan rakyat terbanyak yang termaktub di dalam Perlembagaan.

“Pemuda Amanah menyelar tindakan pihak berkuasa menangkap seramai 47 orang asli kerana melakukan halangan (blockade) di pos perkampungan mereka.

“Tindakan ini adalah satu tindakan yang zalim dan melanggar hak mereka di bawah Perkara 13(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan “Tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya mengikut undang-undang’, ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Faiz yang juga peguam berkata terdapat banyak kes-kes Mahkamah yang diputuskan telah mengiktiraf kawasan hutan yang diduduki Orang Asli merupakan tanah adat yang diwarisi daripada nenek moyang mereka sebagai tanah sah walaupun tiada hakmilik dikeluarkan oleh pihak kerajaan termasuk ‘landmark case’ Adong Bin Kuwau lwn Kerajaan Negeri Johor yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Justeru, orang asli Temiar ujarnya, yang mempunyai hak sah ke atas tanah mereka di kawasan hutan simpan kekal di Gua Musang tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah.

“Kenyataan pihak Jabatan Perhutanan Negeri bahawa tindakan diambil mengikut seksyen 32, 47 dan 81 Akta Perhutanan Negara 1984 adalah tidak berasas kerana mereka adalah penduduk sah hutan tersebut dan bukannya orang luar yang memerlukan permit untuk memasuki kawasan hutan tersebut.

“Oleh itu, tindakan yang diambil terhadap mereka adalah di luar bidang kuasa dan skop Akta Perhutanan Negara.

“Tindakan mereka membuat halangan adalah bagi mempertahankan pencerobohan terhadap tanah mereka yang didakwa dilakukan oleh pihak syarikat pembalakan.

“Amat malang, apabila tiada campurtangan pihak Kerajaan Negeri Kelantan bagi membantu mereka yang ditangkap, sebaliknya mereka pula ditahan reman selama dua hari.

“Tindakan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan lebih mementingkan kepentingan kapitalis pembalak daripada hak rakyat Kelantan.

“Hak mereka perlu dipertahankan dan tidak seharusnya didiskriminasikan, apatah lagi mereka adalah rakyat asal negeri Kelantan,” ujarnya.

TAGS