Hubungan antara kaum renggang akibat percakaran politik, kata Pengarah Perpaduan

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perlu diperkukuhkan sebagai satu medium perpaduan dan integrasi nasional yang bersepadu dalam memupuk hubungan antara kaum yang dilihat semakin renggang akibat daripada percakaran politik membabitkan pemimpin dan parti.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perlu diperkukuhkan sebagai satu medium perpaduan dan integrasi nasional yang bersepadu dalam memupuk hubungan antara kaum yang dilihat semakin renggang akibat daripada percakaran politik membabitkan pemimpin dan parti.

Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) Selangor, Baharin Idris berkata dengan isu-isu politik kebelakangan ini membabitkan demontrasi jalanan penyertaan pimpinan parti politik pro kerajaan dan pembangkang mengajak rakyat berdemontrasi, sedikit sebanyak memberi kesan kepada kelompok komuniti di dalam KRT turut terbabit.

“Perpaduan satu perkara cukup penting untuk Malaysia. Ekonomi akan maju kalau perpaduan kita padu. Ekonomi akan jatuh kalau perpaduan kita bergoncang.

“Bila kuning (demontrasi Bersih) masuk KL sudah ganggu perniagaan. Dah tu masuk pula merah (demontrasi pro kerajaan) di Bukit Bintang.

“Jika dah terlalu kerap berdemontrasi sana sini kerana marahkan pemimpin politik,  imej perpaduan akan jatuh dan negara ini dilihat tidak stabil dari segi penyatuan masyarakatnya yang berbilang kaum,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau ditemui ketika merasmikan Majlis Jasamu Dikenang Jawatankuasa Rukun Tetangga (sesi 2014-2015) dan Anugerah Perdana Rukun Tetangga Peringkat Daerah Petaling yang diadakan di Dewan Sivik MBPJ  pada Isnin lalu.

Beliau tidak mengalakkan pemimpin-pemimpin KRT di enam zon di Daerah Petaling Selangor terlibat dalam demontrasi.

“Kalau kita terlalu menjadi kelompok masyarakat ekstrim tidak bagus tapi kalau jadi pula kelompok masyarakat pasif pun tidak bagus.

“Kalau boleh kita amalkan kesederhanaan, kerana negara kita perlukan perpaduan dalam kepelbagaian agama, kaum dan latar belakang yang boleh diraikan bersama dalam sebuah negara yang aman damai.”katanya.

Bagi  mengekalkan perpaduan dan integrasi antara kaum ini,  setiap komuniti KRT perlu mempunyai masyarakat yang memegang prinsip bertolak ansur, berkongsi dan saling menghormati antara kaum dan agama.

Baharin berkata, KRT adalah sekelompok komuniti masyarakat yang bekerja menjaga keharmonian kaum yang tidak dibayar oleh mana-mana pihak.

Justeru golongan ini katanya, aktif melakukan gerak kerja komuniti setempat, untuk memastikan hubungan antara kaum terus harmoni dan terpelihara dalam komuniti mereka.

“Tugas dan peranan jawatankuasa rukun tetangga sangat mencabar kebelakangan ini walaupun mereka tidak pernah diberi gaji atau alaun khidmat sukarelawan yang dilakukan.

“Ini kerana mereka yang aktif mengerakkan KRT kebanyakannya di kalangan kelompok masyarakat yang cintakan perpaduan untuk terus memelihara hubungan baik antara kaum.

“Perpaduan satu perkara yang amat penting dipupuk dalam masyarakat negara ini. Jika tanpa perpaduan kaum, secara tidak langsung ia akan menjejaskan kestabilan ekonomi sesebuah negara,” ujarnya.

Tun Abdul Razak adalah pelopor Rukun Tetangga, Tun Mahathir pula melestari Sektor Rukun Tetangga

Rukun Tetangga  telah ditubuhkan pada 1975 ketika negara diterajui Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri ketiga dengan tujuan untuk merapatkan hubungan antara kaum ketika itu.

“Rukun tetangga diwujudkan kerana ketika itu hubungan antara kaum tidak baik. Antara kaum selalu bergaduh kesannya ekonomi jatuh dan kadar jenayah juga tinggi.

Baharin (tengah) menyampaikan Anugerah Pengurusan Rukun Tetangga Perdana bagi KRT Pangsapuri Subang Perdana 2“Negara berada dalam keadaan cukup terancam, Ketua Polis Negara pun pernah di tembak, Tugu Negara di bom  dan ada gerakan bawah tanah.

“Rakyat perlu main peranan ketika itu dengan mengadakana rondaan wajib dengan kerjasama polis dan tentera. Selain mengharapkan pemimpin dan rakyat bersama dalam komuniti mereka untuk menjaga keselamatan kawasan perumahan yang diduduki,” ujarnya.

Cerita beliau lagi, pada 1982  bagi memperkukuhkan lagi peranan KRT diperkenalkan  pula konsep kejiranan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, tiada lagi rondaan bersama polis atau tentera.

Pada tahun 2000 KRT semakin dikembangkan dengan pembangunan komuniti yang berperanan sebagai platform penganjuran pelbagai program kejiranan, sukan dan sosial di setiap komuniti yang diletakkan di bawah KRT.

Minat generasi muda dalam aktiviti KRT?

Pertubuhan dan persatuan  adalah saingan bagi KRT  untuk meraih  penglibatan generasi muda untuk menyertai program yang disusun KRT secara berstruktur.

Baharin memberitahu kebanyakan generasi muda tidak gemar kepada program yang berstruktur sebaliknya mereka lebih cenderung kepada menyertai persatuan dan pertubuhan sesama usia mereka.

“Jika kita mahu terus melestarikan KRT di kalangan generasi muda, mereka perlu dilantik sertai jawatankuasa sedia ada  agar dapat memberi input untuk merapatkan hubungan generasi muda dan generasi tua di dalam KRT  sebagai tambah nilai kepada ide-ide baru yang lebih dekat dengan jiwa orang muda. Ini bertujuang untuk menarik mereka menyertai program-program yang dirancang KRT sepanjang tahun,” katanya.

Baharin menganggarkan lebih 90 peratus KRT di Selangor, dikategorikan sebagai KRT aktif yang merangkumi struktur jawatankuasa, mesyuarat berkala dua bulan sekali, program dua bulan sekali dan laporan kewangan tersusun.

Di Selangor yang mempunyai  sembilan daerah yang mana KRT Daerah Petaling ini membabitkan enam zon seperti Kelana Jaya, Petaling Jaya Utara, Petaling Jaya Selatan, Puchong/Serdang, Shah Alam dan Subang.

Keseluruhan zon terdapat 177 KRT dan daripada jumlah itu sebanyak 10 KRT terbabit dalam program Strategi Lautan Biru Nasional (National Blue Ocean Strategy/ NBOS) yang melibatkan Program Sayang Komuniti, Program Rondaan Rapat 1M, Program Komuniti Sihat Perkasa dan Program Urban Farming.

Manakala 167 KRT lagi telah menyertai Program COMBI iaitu menjalankan aktiviti membanteras nyamuk aedes bersama Jabatan Kesihatan Daerah Petaling Jaya.

Semua program ini dijalankan usaha sama dengan jabatan dan agensi kerajaan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Polis Di Raja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Mardi.

Selain program-program yang diaturkan sendiri oleh KRT bersama syarikat korporat di bawah  tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“JPNIN mengalakkan sektor korporat mengiatkan lagi aktiviti CSR mereka di dalam KRT. Tidak dinafikan memang ada syarikat yang berminat untuk menaja aktiviti tetapi jumlahnya tidak ramai dan sehebat syarikat melakukan CSR di kalangan mereka yang kurang bernasib baik seperti mengunjungi dan memberikan bantuan khusus untuk rumah orang tua, anak yatim atau Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini.

“Ini kerana kerja-kerja kemasyarakatan membabitkan program-program bersama komuniti  kurang menarik minat sektor korporat untuk tujuan penajaan,” ujarnya.

 Baharin bergambar kenangan bersama pemimpin-pemimpin KRT yang turut menerima anugerah pada malam itu.

TAGS