Hubungan tegang Umno dan Pas makin kendur, kata Najib

Hubungan tegang Umno dan Pas makin kendur, kata Najib

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Hubungan tegang antara Umno dan Pas yang berlaku suatu ketika dulu, kini semakin kendur termasuk di peringkat akar umbi, kata Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri berkata ini berikutan Pas pada masa ini lebih terbuka dan komited bekerjasama dalam memperjuangkan perkara khususnya yang melibatkan kepentingan ummah di negara ini.

“Begitu juga Umno pun bersikap sedemikian dalam banyak hal bila melibatkan soal ummah, soal masa depan negara.

“Ada bab di mana kita memang mempunyai pendapat yang sama tetapi kita belumlah macam 1974 dalam bentuk satu kerajaan campuran dan sebagainya,” katanya pada Program Soal Jawab Khas bersempena Perhimpunan Agung Umno 2016, di sini, semalam.

Najib menegaskan, Umno dan Pas berjuang menerusi wadah parti masing-masing.

“Kita bergerak dalam kumpulan, kelompok masing-masing, dalam parti masing-masing. Ada masa kita berbeza pendapat, ada masa kita tak sama pendirian tetapi ada kala juga kita boleh mempunyai pendirian yang sama,” katanya.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan parti itu mempunyai hak untuk menjalin kerjasama dengan sesiapa saja atau mana-mana parti politik termasuk Umno.

Hadi berkata kerjasama dengan Umno lebih tertumpu kepada soal untuk menegakkan syiar Islam demi kepentingan umat Islam di negara ini dan jalinan itu bukan atas kepentingan politik.

TAGS