Husam hanya mahu perhatian, kata Takiyuddin

Husam hanya mahu perhatian, kata Takiyuddin

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata desakan Adun Salor Datuk Husam Musa agar beliau meletakkan jawatan adalah sekadar untuk mencari perhatian.

“Saya pernah jadi setiausaha dia (Husam) sewaktu dia menjadi Ketua Pemuda PAS. Kemudian dia dilantik sebagai exco.

“Biasalah orang politik. Saya nampak dia hendak mencari perhatian,” katanya kepada pemberita sewaktu ditemui di Ibu Pejabat Pas semalam.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu itu menyatakan secara terbuka tidak berkecil hati dengan kawan lamanya itu sebagaimana dipetik dari portal Malaysiakini.

“Tidak ada, biasalah. Saya juga tidak rasa dia tikam dari belakang,” katanya ringkas.

Takiyuddin ketika diminta mengulas mengenai tindakan disipin yang harus diambil terhadap Husam menyerahkan hal tersebut kepada Pas Kelantan.

“Yang itu serahkan kepada Kelantan. Biar Kelantan yang selesaikan urusan dia (Husam),” katanya.

Terdahulu, Husam yang juga bekas naib presiden Pas menggesa agar Takiyuddin dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Amar NIk Abdullah meletakkan jawatan kerana gagal membentangkan usul pindaan Akta 355 di parlimen.

Katanya, melalui pelan pelaksanaan undang-undang syariah Jawatan Kuasa Teknikal Bersama Negeri dan Pusat, tidak ada cadangan rang undang-undang persendirian 355 diputuskan untuk dibawa ke parlimen.

TAGS