Hutan simpan kekal di kawasan MB Pahang pun diceroboh

Hutan simpan kekal di kawasan MB Pahang pun diceroboh

Terdapat lima kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di daerah Bentong, Pahang berkeluasan kira-kira 2,735 hektar telah diceroboh dengan pelbagai aktiviti, dedah Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Imej satelit yang dipadankan mendapati seluas 2735 hektar Hutan Simpan Kekal HSK di kawasan Menteri Besar Pahang sedang terancam.

Terdapat lima kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di daerah Bentong, Pahang berkeluasan kira-kira 2,735 hektar telah diceroboh dengan pelbagai aktiviti, dedah Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Kawasan terbabit iaitu HSK Bukit Tinggi, Bukit Tinggi (Tambahan), Kelau/ Raka, Lentang dan Lentang (Tambahan) terjejas dengan kegiatan pembalakan, perlombongan termasuk pencerobohan tanah untuk pertanian.

Beliau berkata, pencerobohan HSK di kawasan Menteri Besar Pahang itu menggambarkan ketidakcekapan pentadbiran kerajaan negeri terutama dalam hal berkaitan pengurusan dan pemeliharaan hutan.

Pencerobohan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Bentong membuktikan kegagalan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang.

“Dan terdapat pula sebanyak 1,0776 hektar HSK yang masih belum dibaikpulih di HSK Kemasul dan HSK Kemasul (Tambahan) di sempadan daerah Bentong dan Temerloh,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Fuziah Salleh

Menurutnya, HSK Bukit Tinggi dan Lentang merupakan kawasan yang sensitif memandangkan struktur muka bumi kedua-dua lokasi tadahan air itu berbukit, cerun dengan beberapa air terjun yang indah.

“Tambahan pula, HSK Lentang telah pun diwartakan sebagai Hutan  Lipur pada 2000. Sebanyak 1,338 hektar telah diwartakan buat tujuan rekreasi dan seharusnya dipelihara daripada pencerobohan,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Fuziah menyifatkan kejadian tanah runtuh di Lebuhraya Karak di KM 52.4 pada November tahun lalu sehingga mengakibatkan lebuhraya itu ditutup beberapa hari membuktikan wujud pencerobohan hutan yang amat serius.

“Syukur tiada kemalangan jiwa berlaku ketika itu akan tetapi kita tidak tahu di lain kali. Mengikut laporan pihak bomba ianya berpunca daripada kawasan tadahan air yang melimpah.

“Namun, umum mengetahui terdapat projek pembinaan ‘pylon’ TNB (Tenaga Nasional Berhad) di atas bukit dari Janda Baik ke Lenggeng Negeri Sembilan.

“Satu  NGO alam sekitar PEKA pula mendakwa berlaku pembalakan haram di atas bukit iaitu sepanjang proses pembinaan tersebut. Tinjauan dan laporan pihak media seperti Bernama juga menemui papan tanda pembalakan di kawasan hutan lipur itu tetapi kerajaan negeri nafikan,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, Fuziah bimbang keadaan tersebut akan membahayakan keselamatan awam tambahan ketika musim hujan pada masa ini.

TAGS