Hutang pelajar RM4.5 juta: Kerajaan hantar pegawai ke Mesir

Hutang pelajar RM4.5 juta: Kerajaan hantar pegawai ke Mesir

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Rombongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengesahkan maklumat pelajar di Mesir yang dilaporkan menanggung hutang yuran mencecah RM4.5 juta.

Kementerian tersebut, dalam satu kenyataan hari ini berkata, rombongan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Kamel Mohamed itu bagi mendapat gambaran penuh isu dihadapi pelajar Malaysia di sana.

“Kami harap universiti mereka dapat menyelaraskan kadar hutang ditanggung pelajar berkenaan dengan segera. Kementerian akan terus memberi maklum balas,” dipetik daripada kenyataan itu.

Seramai 150 pelajar negara ini yang mengikuti jurusan perubatan, pergigian dan farmasi di Mesir mendakwa bakal disingkir ekoran menanggung hutang yuran berjumlah RM4.5 juta.

Mereka terbabit dilaporkan bergantung sepenuhnya kepada keluarga untuk membayar yuran pengajian serta menampung kos sara hidup kerana tidak memperoleh tajaan atau pembiayaan pendidikan sepanjang tempoh pembelajaran di negara itu.

Dalam hal berkaitan, Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (Perubatan) sebelum ini merayu pihak kerajaan supaya membantu meringankan beban kumpulan pelajar berkenaan yang sedang menuntut di lapan universiti di Mesir.

TAGS