Ibu tunggal 5 anak perlu bantuan ringankan beban

Ibu tunggal 5 anak perlu bantuan ringankan beban

 

Dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini golongan daif tidak ketinggalan diberikan perhatian oleh Datuk Mahfuz Omar yang telah menziarahi sebuah keluarga yang tinggal di sebuah pondok di dalam kawasan ladang getah di Kampong Mata Air, Bukit Payong Pokok Sena.

Pondok yang didiami seorang ibu tunggal Che Rus Awang Bu bersama lima anaknya itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Pokok Sena untuk menyalurkan bantuan zakat kepada keluarga ini untuk membina sebuah rumah.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Lembaga Zakat Kedah yang akan mempertimbangkan bantuan untuk membina rumah kepada keluarga daif ini.

“Melalui Pusat Khidmat wakil rakyat Pokok Sena pula, saya sendiri akan mengambil tanggungjawab memberi pendidikan salah seorang anaknya Nur Alia Natasya,10, yang masih belajar di Sekolah Rendah Bukit Payong.

“Ini bagi memastikan anaknya tidak tercicir dari persekolahan dan hingga ke universiti,” ujarnya dalam kenyataan.

Daripada sumber diperolehi Che Rus kehilangan suami yang terbabit dalam kemalangan langgar lari baru-baru ini.

Beliau mempunyai lima cahaya iaitu yang mana anak perempuan sulungnya sudah berkahwin, anak kedua berusia 17 tahun terpaksa berhenti sekolah dan dua lagi anaknya berusia 6 dan 2 tahun.

Bagi mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan kepada keluarga ini boleh berhubung dengan pihak Sekolah Kebangsaan Bukit Payong, Pokok Sena, No Telefon: 04-7824324 atau memberikan sumbangan kewangan terus ke akaun Che Rus Awang Bu, no akaun:02100-41-00039945-2 (BSN).

Pondok usang Che Rus

 

 

TAGS