Imam Besar Masjid Al-Aqsa kunjungi Guan Eng

Imam Besar Masjid Al-Aqsa kunjungi Guan Eng

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Imam Besar Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Sheikh Ali Omar Yacoub Abbasi semalam berkunjung ke pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Komtar, Georgetown.

Turut menyambut kunjungan Sheikh Ali Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim.

Sheikh Ali Al-Abbasi meluangkan hampir 30 minit bertukar-tukar pandangan bersama pemimpin kerajaan negeri, malah turut memuji usaha Pulau Pinang dalam memartabatkan Islam serta berlaku adil terhadap rakyat di negeri ini tanpa mengira bangsa dan agama.

Sheikh Ali Al Abbasi sambil diiringi Guan Eng melihat bandar Georgetown dari menara Komtar.

Pada perbincangan tertutup tersebut, Guan Eng turut menyatakan sokongan penuh kerajaan negeri terhadap rakyat Palestin untuk terus berjuang menentang kezaliman Israel.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan kehadiran beliau ke Pulau Pinang. Beliau merupakan seorang yang berani.

“Kita mendoakan keselamatan beliau ketika berada di Jerusalem (Baitulmaqdis)… dan seperti yang semua ketahui bahawa Jerusalem diduduki oleh orang Israel (Yahudi) dan kita tidak tahu apa akan terjadi pada masa hadapan,” ujarnya mengulas intipati perjumpaan tersebut pada sidang media.

Menurut Guan Eng, Sheikh Ali Al-Abbasi dapat melihat rakyat Pulau Pinang hidup dalam keadaan aman dan memberi sokongan penuh kepada usaha kerajaan negeri dalam memupuk hubungan yang harmoni antara rakyat pelbagai kaum dan agama.

Sebelum itu, Sheikh Ali Al-Abbasi turut mengadakan kunjungan ke Pejabat Abdul Malik.

TAGS