• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Amanah dakwa Qaradhawy tidak bangkit haram tubuh parti Islam lain dari PAS

 

Dr Yusof QaradhawyDr Yusof QaradhawyParti Amanah Negara (Amanah) mendakwa pemimpin mereka baru saja menemui ketua persatuan ulama sedunia Profesor Dr Yusof Qaradhawy dan tidak berbangkit langsung bahawa haram menubuhkan parti Islam lain selain PAS sebagaimana didakwa presiden PAS.

Timbalan presiden Amanah, Salahudin Ayub berkata, dalam pertemuan itu tidak disebut langsung tentang haramnya wujud sebuah parti Islam lain selain daripada PAS.

"Bahkan kami berbincang perkara prinsip tentang kejelasan fikrah Islam, kerana bimbang terjerumus kepada pemikiran awal ISIS atau seumpamanya.

"Lalu Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi menyokong usaha untuk membetuli salah faham ini di kalangan pengamal politik Islam," kata Salahudin dalam kenyataannya hari ini.

Menurut Salahudin, beliau telah mengetuai misi antarabangsa Amanah ke Doha, Qatar dan Istanbul, Turki dari 13 hingga 18 Oktober lalu. Misi ini bertujuan untuk memperkenalkan Amanah di peringkat antarabangsa khususnya gerakan Islam.

Bersama beliau ialah Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin selaku Timbalan Penasihat Umum Amanah yang juga Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Naib Presiden Datuk Dr Mujahid Yusof serta Bendahari Asmuni Awi.

Semasa di Doha, Qatar pada 13 Oktober, mereka telah mengadakan pertemuan dengan Prof Dr Ali Al-Qaradaghi selaku Setiausaha Agung Kesatuan Ulamak Islam Sedunia.

Pertemuan hampir dua jam itu antaranya adalah untuk memaklumkan mengapa Amanah perlu wujud di persada politik tanah air. "Perbincangan kami berlangsung dalam suasana amat mesra dengan saling bertukar pandangan dan memperjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan mengenai Amanah," katanya.

Mereka juga telah bertemu dengan Sheikh Dr Ibrahim Munir, Setiausaha Agung Ikhwanul Muslimin semasa di Istanbul, pada 16 Oktober.

Di akhir pertemuan itu, beliau telah mencadangkan agar digerakkan usaha mencapai persefahaman dalam bidang siasah di kalangan parti politik termasuk PAS, agar politik Islam dapat diperkukuhkan di Malaysia khususnya dan dunia amnya.

Dr Mujahid pula, katanya, ketika dalam perjalanan pulang dari Istanbul telah bertemu sendiri dengan Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi di Doha, Qatar pada 17 Oktober dengan membawa mesej yang sama.

Dalam pertemuan itu, Qaradhawi menyokong usaha untuk membetuli salah faham di kalangan pengamal politik Islam.

"Saya sebagai mewakili Amanah menegaskan bahawa kami bersedia dan sentiasa terbuka untuk bertemu, dan komited untuk berbincang dengan mana-mana pihak demi kepentingan perjuangan Islam dan ummah seluruhnya," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: