Kerajaan mahu kaut keuntungan daripada AES, ujar Mahfuz

Mahfuz yakin AES dilaksanakan bagi mengaut keuntunganMahfuz yakin AES dilaksanakan bagi mengaut keuntunganAhli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mendakwa kerajaan berbohong apabila memberi alasan bahawa keputusan pelaksanaan semula Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Beliau sebaliknya yakin bahawa keputusan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan mengaut keuntungan daripada hasil saman AES yang dikenakan kepada rakyat.

“Alasan pelaksanaan AES untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sangat tidak masuk akal.

“Kerajaan terpaksa melaksanakan semula AES untuk mengaut keuntungan,” kata beliau kepada Malaysia Dateline hari ini.

Mahfuz yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman Ekor (Kase) berkata demikian sebagai respons kepada pengumuman Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa kerajaan akan melaksanakan semula AES dan sistem pemberian mata demerit kesalahan jalan raya (Kejara) secara serentak selewat-lewatnya Mac ini.

Liow berkata, pelaksanaan dua sistem tersebut adalah sebagai usaha kerajaan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Melalui sistem Kejara, penggunaan demerit akan diguna pakai iaitu apabila pemandu ditahan, pihak berkuasa akan menolak mata.

Katanya, apabila cukup kepada jumlah maksimum 20 mata ditolak, maka lesen pemandu boleh digantung.

Mengulas lanjut, Mahfuz turut mempersoal AES yang tidak terpakai kepada pihak tertentu seperti pembesar negara dan menteri-menteri termasuk pengawal yang mengiringi mereka.

“Takkan AES nak dikenakan kepada rakyat biasa sahaja. Bagaimana pula dengan Yang di-Pertuan Agung, menteri-menteri yang tak dikenakan AES temasuk pegawai pengiring. Adakah keselamatan mereka tidak dipedulikan?” soalnya.

Kaedah 8 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Kesalahan Yang Dirakam Melalui Kamera) di bawah Seksyen 53 A, Akta Pengangkutan Jalan memperuntukkan kereta membawa pembesar seperti Agong, Sultan dan perdana menteri dikecualikan daripada AES.

Mahfuz juga berkata, bukti kerajaan ingin mengaut keuntungan sangat nyata dengan kenyataan Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Berhad Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin bahawa AES akan dilaksanakan semula secara bersama oleh Boustead dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) setelah Boustead mengambil alih pegangan IRAT Properties Sdn Bhd yang mengambil alih pegangan Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd.

Kenyataan Tan Sri Lodin pada 6 Mac 2015 semasa mengumumkan pengambil-alihan 50% pegangan IRAT Properties Sdn Bhd menyatakan bahawa untuk membangunkan aliran perniagaan dan membina peluang sinergi, memperoleh pegangan dalam AES adalah proses semula jadi bagi Kumpulan memacu pertumbuhannya.

Lodin ujarnya mendakwa AES adalah sistem yang berjaya di pelbagai negara seluruh dunia, dan ia adalah satu sistem yang terbukti menjana hasil ketara.

“Kenyataan ini menggambarkan kerajaan hanya ingin mengautkan keuntungan. Mereka hanya akan laksanakan AES jika mendatangkan keuntungan, bukan memikirkan nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: