Jadilah seperti Guan Eng, saran SAMM kepada Azmin

Azmin dan Guan Eng dalam satu program Pakatan Harapan

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyarankan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali mengenakan tindakan undang-undang ke atas Badrul Hisham Shaharin atau che'GuBard ekoran dakwaannya sebelum ini mengenai isu tender balak.

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, Azmin perlu membersihkan namanya seperti telah dilakukan Guan Eng terhadap Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan yang mendakwa kononnya Setiausaha Agung DAP itu menganugerahkan projek pembinaan terowong bawah tanah secara rundingan terus.

“Jika LGE (Lim Guan Eng) dengan berani membawa Nasrudin ke mahkamah demi menunjukkan tiada anugerah rundingan terus (walaupun mempunyai kuasa berbuat demikian) seperti yang didakwa, mengapa tidak Azmin juga melakukan hal yang sama terhadap che'GuBard?

“Apa yang berlaku di sebalik keputusan Mahkamah Georgetown itu adalah hampir sinonim dengan perkembangan di Selangor. Bezanya, kelantangan che'GuBard menyuarakan skandal balak Menteri Besar Selangor Azmin Ali dalam istilah 'tender terbuka' masih belum diheret ke mahkamah,” ujarnya dalam kenyataan beliau semalam.

Menurut Edy, proses penganugerahan projek melalui tender terbuka merupakan antara perkara asas semangat reformasi dan janji ketelusan dalam pentadbiran yang ingin ditunjukkan kepada rakyat.

Walaupun kerajaan Selangor melalui Menteri Besar dan mesyuarat exconya mempunyai bidang kuasa meluluskan projek tanpa tender terbuka, ujarnya, tetapi janji kepada rakyat seolah-olah dikhianati jika pemberian tender secara rundingan terus iaitu tanpa tender terbuka itu dibiarkan berlaku.

“Malah perjuangan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim hingga terbenam ke penjara demi mempertahan prinsip menjadi sia-sia. Azmin Ali selaku ketua kerajaan Selangor bersalah kepada perjuangan ini apabila wujud projek besar tidak melalui proses tender terbuka, contohnya skandal balak yang dibangkitkan oleh che'GuBard baru-baru ini,” katanya.

Beliau menambah, lebih mendukacitakan apabila Azmin tidak bercakap benar kepada media dengan menyebut kawasan balak yang diluluskan itu melalui tender terbuka.

Sehubungan itu, pihaknya mendesak Azmin membawa che'GuBard ke mahkamah supaya dokumen yang dilindungi akta rahsia rasmi mengenai tender terbuka penganugerahan projek balak tersebut mampu dipaparkan sebagai bukti.

Untuk rekod, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR pada 5 Januari lalu mencabar che'GuBard supaya tidak ‘menyalak’ sebaliknya melaporkan dakwaan berkenaan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bahkan, Adun Bukit Antarabangsa itu menegaskan kerajaan negeri tidak terbabit mengeluarkan sebarang lesen bagi aktiviti pembalakan.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Isnin lalu memerintahkan Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh itu menarik balik artikel tulisannya bertajuk 'Apa beza Kidex dan Penang tunnel?’ pada 2014 lalu serta membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Guan Eng.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: