Untuk kekal kadar GST, kerajaan laksana AES - Tuan Ibrahim

Pelaksanaan AES ditangguhkan kerajaan kerana bantahan hebat rakyat

PAS mendakwa Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang akan dilaksanakan semula dan penggantungan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjadi pengganti kepada kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang tidak dinaikkan.

PAS mendakwa Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang akan dilaksanakan semula dan penggantungan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjadi pengganti kepada kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang tidak dinaikkan.

Tuan Ibrahim Tuan ManTimbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan tersebut memberi bayangan bahawa pengubahsuaian bajet yang akan dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 28 Januari ini akan hanya menambahkan tekanan kepada kehidupan rakyat.

“Kerana boros dan juga tidak pandai mengurus kewangan negara, terutamanya sedekad yang lalu ini, kerajaan kini benar-benar bergantung kepada GST sebagai sumber negara selepas keruntuhan harga minyak sedunia yang menyebabkan sumbangan Petronas terus meruncing,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, rakyat sangat mengharapkan Najib untuk mengambil tindakan drastik mengurangkan ‘kos sara kerajaan’ terlebih dahulu.

“Perdana Menteri mesti menunjukkan teladan dengan menghentikan sikap boros beliau dan keluarga yang menjadi buah mulut rakyat,” katanya lagi.

Selain itu katanya, Najib juga perlu menyemak fungsi yang bertindih antara kementerian dan agensi kerajaan.

Sebagai contoh katanya, terdapat enam agensi penguatkuasaan di atas jalan raya iaitu polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Jabatan Alam Sekitar dan Majlis Perbandaran.

Menurut beliau, peranan Puspakom yang boleh diserahkan kepada JPJ adalah antara contoh yang boleh diteliti kembali.

“Sekurang-kurangnya rakyat mengharapkan perdana menteri akan memotong belanjawan Jabatan Perdana Menteri dan mengurangkan saiz kabinet mengikut keperluan bukan lagi berdasarkan tuntutan parti komponen BN.

“Antaranya, PM diseru untuk menamatkan jawatan Penasihat Khas bagi beliau yang bertaraf menteri, termasuk empat hingga lapan pegawai dan pembantu yang diperuntukan kepada setiap satu.

Mereka ialah Datuk Seri Dr Abdullah Bin Md Zin, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri; Datuk Seri Zainal Abidin bin Osman, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Mengenai Wilayah Ekonomi Koridor Utara; Tan Sri Datuk Seri Utama Rais Yatim, Penasihat Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan kepada Kerajaan Malaysia; Tan Sri Ong Ka Ting, Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China; Datuk Seri Tiong King Sing, Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur merangkumi Jepun, Korea Selatan dan Taiwan; Datuk Seri S. Samy Vellu, Duta Khas ke India dan Asia Selatan Dalam Bidang Infrastruktur; Datuk Seri Shahrizat Binti Abdul Jalil, Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita; dan Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, Penasihat Perdana Menteri.

Tuan Ibrahim juga berkata, Najib patut melaksanakan nasihatnya kepada anggota kabinet agar mereka bijak dan berhemah dalam membelanjakan peruntukan kerajaan.

"Bayangkan kehampaan yang dirasai rakyat apabila mendengar berita PM terus memperkenalkan polisi yang menekan mereka dengan penggantungan biasiswa JPA dan pengenalan semua AES.

“Rakyat menaruh harapan tinggi pada pengubahsuaian bajet yang bakal diumumkan 28 Januari ini. Namun, nampaknya rakyat kena bersedia terus dihampakan jika keputusan menggantung biasiswa JPA dan juga membawa kembali AES dijadikan ukuran,” katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: