Bayaran imbuhan, bonus 1MDB adalah sulit, kata PM

 

1MDB1MDB

Imbuhan dan bonus yang dibayar kepada eksekutif tertinggi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah sulit dan peribadi.

 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata 1MDB adalah syarikat yang tertakluk di bawah Akta Syarikat 1965, dengan sebarang perjanjian yang dimasuki syarikat tersebut adalah sulit dan peribadi.

 "Ini termasuklah kontrak pekerjaan antara syarikat dan pekerjanya," kata Najib dalam jawapan bertulis kepada Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) di Dewan Rakyat.

 Ko bertanyakan soalan mengenai imbuhan tahunan dan bonus yang dibayar kepada Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif dan ahli lembaga pengarah 1MDB sejak ia ditubuhkan pada 2009.

 Dalam jawapan bertulis berkaitan, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah terperinci hasil tahunan, perbelanjaan dan penyata untung dan rugi serta aliran tunai yang dibuat oleh 1MDB, dimuatkan dalam Penyata Kewangan 1MDB yang telah diaudit sejak 2009.

 Beliau berkata jumlah tersebut difailkan setiap tahun di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 Beliau berkata maklumat terperinci berkaitan Penyata Kewangan 1MDB yang telah diaudit, boleh dimuat-turun di laman web SSM.

 Najib berkata 1MDB dan anak syarikat milik penuhnya telah mendapat pengecualian cukai pendapatan, termasuk dividen, bagi tempoh 10 tahun, selaras dengan Seksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

 "Bagaimanapun, bagi anak syarikat lain yang diperoleh 1MDB, tidak mendapat pengecualian tersebut," katanya.

 Ko bertanyakan hasil tahunan, perbelanjaan dan penyata untung dan rugi 1MDB sejak 2009 serta jumlah aliran tunai tahunan selain cukai yang dibayar setiap tahun sejak 2009. -- BERNAMA



PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel