Selepas dengar cakap menteri, Pas yakini Tabung Haji

Takiyuddin HassanPas amat yakin terhadap kemantapan sistem tadbir urus Tabung Haji (TH) yang bukan sahaja selaras dengan pematuhan syariah malah mementingkan manfaat dan menjana pulangan pendapatan yang baik kepada para pendeposit.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata, TH bukan sebuah bank dan tidak beroperasi sebagai institusi kewangan yang lebih berorientasikan keuntungan maksimum berbanding pulangan kepada pendeposit.

“Pas berpuas hati dengan penjelasan oleh menteri yang menjaga Tabung Haji (yang saya temui sendiri di Parlimen) serta pengurusan tertinggi lembaga itu yang mengesahkan prestasi kewangan Tabung Haji berada dalam keadaan baik terutama apabila mengambil kira nilai aset keseluruhan portfolio pelaburan.

“Apa yang lebih penting lagi adalah jaminan bahawa bonus pendeposit bagi tahun 2015 akan diumumkan dan dibayar dalam waktu terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau bersetuju dengan teguran Bank Negara Malaysia (BNM) kepada TH namun katanya teguran mahupun nasihat yang dikeluarkan BNM kepada institusi seperti TH tidak seharusnya menimbulkan suasana panik dan menjejaskan keyakinan para pendeposit terhadap TH.

“Sesuatu teguran mahupun nasihat yang dikeluarkan BNM kepada institusi seperti TH tidak seharusnya menimbulkan suasana panik dan menjejaskan keyakinan para pendeposit terhadap TH,” katanya yang juga ahli Parlimen Kota Bharu.

Sebagai rekod Bank Negara menghantar surat kepada Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim pada 23 Disember lalu, memberi amaran rizab TH pada paras negatif.

Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar berkata TH tidak akan dapat membayar dividen kepada 9 juta pendeposit tahun ini, kerana nilai aset hanya mencukupi untuk membayar tidak lebih daripada 98 sen bagi setiap RM1 nilai liabiliti, jika tiada tindakan diambil bagi menyelesaikan perkara itu.

Namun dinafikan oleh Ismee yang berkata, penilaian Bank Negara itu tidak mengambil kira akaun portfolio pelaburan seperti saham anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan dan hartanah yang diduduki mereka.

Sepanjang tahun kewangan 2014 dan 2015, Ismee berkata nilai keseluruhan aset Tabung Haji adalah lebih tinggi daripada nilai liabiliti Tabung Haji, di mana ia mengambil kira semua nilai saksama portfolio pelaburan Tabung Haji.

Rabu lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengatakan TH masih menunggu kelulusan Ketua Audit Negara berhubung pengumuman pembayaran dividen kepada pendepositnya yang mana TH akan merangka draf pengumuman pembayaran dividen selepas mendapat kelulusan itu.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: