Novel "Nenek" lambang derita rakyat tertindas - Dinsman

Dr Nasir dan Dinsman mengulas novel karya Razali Endun, Nenek & Pembangunan.Dr Nasir dan Dinsman mengulas novel karya Razali Endun, Nenek & Pembangunan.

Berdasarkan pengalaman memperjuangkan hak rakyat tertindas sejak akhir 1970-an, Dr Mohd Nasir Hashim menyifatkan pembangunan memiliki sifat dan ideologinya tersendiri yang berpusat pada kebajikan dan keadailan insan.

Walau bagaimanapun, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu melihat konteks pembangunan di negara ini cenderung berkiblatkan kapitalisme yang menghancurkan manusia, kemanusiaan dan alam sekitar.

“Pembangunan ini untuk siapa? Pembangunan bukan soal mengejar kebendaan dan demi wang semata-mata. Dulu Akta Pengambilan Tanah 1960 diguna bagi tujuan kemudahan awam seperti bina sekolah, jalan raya.

“Berbeza sekarang, akta yang sama diguna bagi membolehkan tanah didiami rakyat diambil untuk didirikan pasaraya, taman perumahan yang jelas lebih memihak kepada kepentingan kapitalis, pemaju,” ujarnya dalam Forum Novel Nenek & Pembangunan, di Marasah Seni, Jalan Gombak Sabtu lalu.

Beliau berkata, sistem kapitalisme yang kononnya bercorak pasaran bebas lebih menjaga kepentingan individu yang kaya dapat dilihat pola penindasannya seperti dialami golongan peneroka bandar serta kelas pekerja di ladang dan kilang.

“Ada enam karakter mereka yang terbabit iaitu pemaju kapitalis, penduduk kampung, menteri besar atau datuk bandar, pemimpin politik tempatan, pejabat tanah atau pihak bandaraya serta polis.

“Tahap penindasan dan pengusiran marhaen dari tanah dan penempatan mereka berbeza. Ada kes tertentu polis begitu mengganas. Di tempat lain, gangster pemaju yang beraksi ganas. Ada pula, pegawai pejabat tanah yang angkuh serta tidak ada timbang rasa dan kemanusiaan.

“Selalunya dalam keadaan begini nak cari pemimpin tempatan, Yang Berhormat tiada. Masa pengusiran berlaku mereka hilang cari tak jumpa. Itu yang dapat kita lihat. Sebab apa? Sebab kapitalis mengawal segala-galanya dengan menggunakan wang,” ujarnya dalam program anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) tersebut.

Turut mengulas novel Nenek karya pengarang Razali Endun terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia itu, beliau berkata, pola penguasaan kapitalis berlaku daripada segi perundangan, birokrasi bahkan propaganda melalui media.

“Mereka ‘control’ hakim, peguam, guna samseng pecah-belahkan masyarakat dengan mengumpan wang seperti yang berlaku dalam Nenek. Selain itu, kapitalis juga gunakan media tuduh rakyat kononnya anti pembangunan.

“Kita dapat lihat mana-mana pihak yang akan bertindak lebih ganas. Memang apabila saya lama melibatkan diri dalam perjuangan rakyat, kita dapat gambaran kapitalis kawal golongan politik, segalanya mereka control kerana ada panggilan daripada atas,” ujarnya merujuk percaturan dan campur tangan elit penguasa.

Allah tuntut perkasakan rakyat tertindas

Pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 15 bulan pada tahun 1987 ketika Operasi Lalang, Dr Nasir menekankan pentingnya golongan tertindas bangkit menuntut hak mereka.

Hal ini, ujarnya, bersandarkan ayat al-Quran, surah al-Qasas (28:5) yang bermaksud, “Dan Kami hendak memberi kurniaan kepada orang-orang yang ditindas di bumi itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi).”

Beliau berkata, ayat berkenaan sebenarnya turut menjadi pegangan sosialis dan revolusioner sekaligus menafikan dakwaan pihak tertentu yang prejudis dengan perjuangan kelompok tersebut walhal ketegasan Allah sebenarnya banyak berpihak kepada memperkasakan rakyat tertindas.

“Maka apabila hendak melakukan tuntutan Ilahi ini kita harus menentang arus, melawan konco-konco kepada kapitalisme sebab arahan Allah menjurus kepada usaha manusia menangani transformasi politik, konflik kelas dan akhirnya revolusi.

“Kita harap manusia di dunia ini sebagai khalifah untuk mengatur secara adil dan saksama tetapi pemimpin berpaling tadah. Akibatnya, manusia berkiblatkan penindasan dan bertuhankan keuntungan. Sudah menduakan Tuhan dan juga merebut keuntungan sudah menjadi satu ketagihan,” katanya yang pernah menjadi Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mengulas saling hubungan yang terkait dengan proses pembangunan, beliau berkata, hal ini berasaskan hubungan dialektika (pertentangan) iaitu bagaimana manusia mengimbangkan keadaan yang bercanggah tetapi mempengaruhi satu sama lain seperti hubungan teori dan praktis, baik-buruk, syariat-makrifat serta konfrontasi-perundingan.

“Orang yang berjuang boleh berkonfrontasi dan berunding. Masa berkonfrantasi kita mahu mengheret mereka ke meja perundingan. Masa berunding, (kalau) cakap banyak kita balik ke jalan raya.

“Bukan ‘ini’ atau ‘itu’ tetapi ‘ini’ dan ‘itu’ mengikut keadaan. Kita selesa berunding dan kita boleh berentap. Kita boleh berteori dan ada masa kita berpraktik. Itu yang kita harapkan juga hubungan ini tidak boleh dipisah-pisahkan. Kita boleh lihat sarjana terdahulu dan para sufi menggunakan konsep dialektika apabila mereka membicarakan tentang ketuhanan dan alam ini,” tambah Dr Nasir yang juga pengasas Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Nenek lambang derita rakyat tertindas

Turut memberi tumpuan kepada kapitalisme yang dianggap punca kepada kejahatan tanpa mengira siapa pun termasuk watak Mak Som dalam novel berkenaan, Presiden Paksi, Che Shamsuddin Othman atau lebih dikenali sebagai Dinsman menyifatkan ‘Nenek’ mewakili realiti derita rakyat pada ketika ini.

“Novel membicarakan zamannya seperti ‘Salina’ oleh A. Samad Said dan ‘Putera Gunung Tahan’ karya Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako. Jadi, novel apa sekarang yang menceritakan permasalahan zaman sekarang? Jawapannya adalah ‘Nenek’ walaupun penceritaannya ringkas dan berterus-terang tetapi ceritanya berat dan dihadapai oleh Malaysia hari ini.

“Novel ke-10 Razali Endun ini membentangkan kepada kita permasalahan masyarakat zaman pada masa ini iaitu bagaimana masyarakat kita sedang terancam dengan kapitalisme. Kampung Bertam Malim sedang dicengkam dan terancam dengan kapitalis melalui pihak-pihak berwajib,” ujarnya.

Mengulas ‘permainan’ kapitalis dalam konteks negara ini, Dinsman menganggap kelas pemodal mempergunakan elit Melayu bagi menjayakan matlamat mengejar keuntungan meskipun berlakunya penindasan.

“Kita terlalu berlembut dengan kapitalis. Dalam konteks peneroka bandar di Kuala Lumpur, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) telah menjadi alat kapitalisme.

“Dalam novel ini (Nenek), kapitalis itu diwakili oleh Dato’ Siew Mang Kang seorang pemilik saham utama dalam satu syarikat pemaju perumahan yang kemudiannya melantik Tan Sri Dahan sebagai Pengerusi.

“Dilantiknya elit Melayu yang selepas itu menggunakan apa cara termasuk merasuah pegawai-pegawai di pejabat tanah supaya meluluskan projek itu. Di peringkat kerajaan melalui parlimen telah menggubal Akta Tanah yang memudahkan kapitalis mengambil tanah. Pendek kata, dari Parlimen sampai pejabat tanah jadi alat kapitalisme,” tegasnya.

Menurut Dinsman yang juga penggiat teater itu, pengarang mampu menggalurkan interaksi dan mekanisma kapitalisme itu secara kreatif termasuk mengangkat watak warga emas yang berbeza dengan watak orang tua dalam novel-novel pengarang lain sebelum ini.

“Orang tua dalam Nenek boleh mengepalai demonstrasi untuk menentang sistem penindasan melalui mekanisme walaupun bercakap soal tikar mengkuang tetapi itu simbol mempertahankan hak,” ujarnya lagi.

Sementara itu, pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, berdasarkan kajiannya isu-isu realiti semasa dan pembangunan turut menjadi perhatian kelompok pengarang di Sarawak tetapi tidak banyak disentuh oleh pengarang di Sabah.

Antara hadirin yang mengikut forum novel 'Nenek' karya Razali Endun yang  memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014.Antara hadirin yang mengikut forum novel 'Nenek' karya Razali Endun yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: