Mana pergi RM2.6 bilion, tanya MP selepas Najib bentang Bajet 2016

 

Mana 2.6 bilionMana 2.6 bilion

Selepas memegang sepanduk bertulis "Mana RM2.6 bilion" sebaik sahaja selesai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat petang ini, ahli parlimen pembangkang turut menunjukkan sepanduk itu di luar parlimen.

Tindakan mereka di dalam  dewan dipercayai menyebabkan kamera yang membuat liputan langsung tidak dihalakan ke arah tempat duduk pembangkang dan siaran langsung ditamatkan segera.

RM2.6 bilion adalah jumlah derma yang masuk ke dalam akaun bank peribadi Najib sekitar Mac 2013 dan diperakui Putrajaya selepas didedahkan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.

Gambar mereka memegang sepanduk tersebut dikongsi Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menerusi akaun Twitter dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menerusi kumpulan WhatsApp beliau dan petugas media.

Namun, pemerhatian teliti mendapati beberapa ahli Parlimen PAS seperti Nik Mohd Abduh Nik Aziz (Pasir Mas) dan Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus) tidak turut sama berdiri memegang sepanduk itu dan hanya duduk sewaktu ahli Parlimen pembangkang lain berdiri.

Malah, kelibat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merupakan ahli Parlimen Marang tidak kelihatan langsung sejak awal pembentangan Bajet 2016 bermula sehinggalah ahli-ahli Parlimen pembangkang ditemubual wartawan selepas pembentangan selesai.

Najib yang juga menteri kewangan petang ini membentangkan bajet ketujuhnya sepanjang menjadi perdana menteri.

Bajet 2016 memperuntukkan RM267.2 bilion berbanding RM260.7 bilion peruntukan sebelum dipinda pada tahun sebelumnya.

Di luar dewan, beberapa ahli parlimen termasuk Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Datuk Kamarudin Jaffar (Tumpat) terus menaikkan sepanduk itu.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel