Kewangan TH tidak kukuh seperti digambar - Amanah

Lembaga Tabung HajiLembaga Tabung HajiAmanah mendakwa Tabung Haji (TH) cuba memberi gambaran kedudukan kewangan dan perniagaannya kukuh sekaligus mahu menepis segala sangkaan buruk yang ditimbulkan terhadapnya melalui pembayaran bonus  5% dan bonus tambahan 3%.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, dalam pertemuan pemimpin Amanah dengan TH minggu lalu, pihak pengurusan TH mengakui sejumlah besar wang tunai institusi itu berada dalam simpanan Bank Islam dan hanya mendatangkan pulangan sebanyak 3% bagi tahun 2015.

Ini kerana hampir semua pelaburan lain seperti hartanah, perladangan, pembinaan atau pelaburan saham tidak melebihi pencapaian purata pasaran sebanyak lebih kurang 3%.

Beliau berkata, pada hakikatnya masalah pendekatan pengurusan berhemah dan mampan oleh TH wajar untuk terus dipersoalkan.

“Amanah yakin laporan kewangan TH bagi tahun 2015 yang bakal disediakan akan turut memberi gambaran baik mengenai perniagaannya.

“Sedangkan keadaan sebenar mungkin sebaliknya. Keuntungan dan pertambahan aset sehingga melebihi liabiliti hanya tercapai melalui penjualan beberapa aset yang paling bernilai dengan harga pasaran yang jauh melebihi nilai buku dan penetapan kembali nilai (revaluation) pelaburan milik TH khususnya dalam aspek hartanah,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan Setiausaha Agung, Anuar Tahir.

Salahuddin juga berkata, keuntungan dan peningkatan nilai aset adalah bukan daripada hasil perniagaan semasa TH sebaliknya daripada pelaburan lama dan keuntungan hasil darinya.

“Perniagaan semasa sememangnya mendatangkan pulangan jauh lebih sedikit berbanding bonus 5% yang diberikan. Mungkin ini adalah antara sebab istilah ‘bonus’ dan bukan ‘dividen’ diguna pakai tahun ini.

“Dividen adalah daripada keuntungan sedangkan bonus tidak semestinya daripada keuntungan tetapi merupakan hibah atau hadiah semata-mata,” jelasnya.

TH jual aset berharga

Salahuddin berkata, TH menjual aset paling berharga bagi memastikan wujudnya wang tunai berlebihan mengikut keperluan aliran wang (cash flow) bagi membayar bonus dan kos operasi.

Beliau berkata, penjualan aset TH di London dilaporkan mendatangkan hasil hampir RM1.6 bilion dan merupakan ‘keuntungan luar biasa’ yang mungkin dibanggakan buat masa ini tetapi ia tercapai melalui penjualan aset berharga yang selama ini telah mendatangkan pulangan yang tinggi.

“Secara anggaran kasar boleh dirumuskan bahawa kesanggupan mana-mana pembeli membayar RM1.6 bilion bererti aset tersebut mampu memberi pulangan melebihi RM160 juta setahun.

"Adalah diyakini bahawa ia antara beberapa pelaburan TH yang mampu memberikan pulangan melebihi 8% setahun.

“Dan apabila aset sebegini yang mampu memberikan pulangan tinggi dijual, apa akan dilakukan TH untuk masa-masa akan datang? Pelaburan-pelaburan lain, sama ada dalam hartanah atau saham tidak mungkin mampu mendatangkan hasil setinggi ini,” katanya.

Beliau khuatir tindakan TH adalah tidak lain daripada menjual ‘angsa yang memberikan telur emas’ selama ini (selling the goose that lays the golden egg).

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: