• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Tuan Guru Nik Aziz penjinak 'Harimau Jelutong'

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tokoh ulama disayangi pelbagai kaum. Foto Sinar HarianTuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tokoh ulama disayangi pelbagai kaum. Foto Sinar Harian

Hari ini genap setahun Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggalkan dunia yang fana ini. Namun legasi dan sentuhan politik dan dakwahnya terus kekal dikenang. Allahyarham seorang tokoh ulama yang bukan sahaja disayangi umat Islam malah dihormati dan dikagumi rakyat merentasi kaum, agama dan sempadan negeri.

Pelbagai sudut keistimewaan tokoh ulama ini boleh diulas. Bagaimanapun suatu yang sukar dilupakan adalah kejayaan beliau menjinak dan melembutkan hati pejuang tegar sistem sekular negara ini, mendiang Karpal Singh.

Tiada siapa menduga Tuan Guru Nik Aziz mengunjungi rumah Pengerusi DAP itu di Jelutong, Pulau Pinang pada tanggal 27 Januari 2013 ketika isu panas berhubung kaum dan agama sedang rancak ditiup pihak-pihak tertentu.

Tuan Guru Nik Aziz tiba di kediaman Karpal kira-kira jam 3 petang dan meluangkan masa selama 20 minit di kawasan yang meriah dengan sambutan Thaipusam di Jalan Scotland.

Beliau yang pada masa itu menjawat Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas dalam rangka lawatan ke Pulau Pinang untuk memenuhi beberapa program anjuran Pas negeri.

Sebelum ini mereka bertemu di program rasmi konvensyen nasional Pakatan Rakyat pada 2009 di Shah Alam dan Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kuala Lumpur pada 12 Januari 2013.

Dalam kunjungan mesra itu, Tuan Guru Nik Aziz memotong kek yang dihadiahkan Karpal sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-82.

Karpal yang gembira dengan kehadiran Nik Aziz terkejut kerana pemimpin Pas itu tiba 30 minit lebih awal.

"Kehadirannya memberi mesej yang kuat bahawa kesatuan kami tetap utuh walau dengan apa yang telah berlaku.

"Kami memahami dan menerima perbezaan antara satu sama lain," kata Karpal dilapor media.

Tuan Guru Nik Aziz memotong kek hari jadi yang dihadiahkan Karpal Singh ketika berkunjung ke rumah pengerusi DAP itu.Tuan Guru Nik Aziz memotong kek hari jadi yang dihadiahkan Karpal Singh ketika berkunjung ke rumah pengerusi DAP itu.

Pada konvensyen Pakatan Rakyat 19 Disember 2009, Tuan Guru Nik Aziz sempat bergurau dengan berkata, "di dada Karpal Singh ada bulan". Beliau merujuk kepada lambang Pas di jaket khas yang dikenakan pemimpin DAP itu.

Karpal pula ketika berucap menceritakan kegusaran sesetengah pemimpin Pakatan Rakyat tentang hubungan tegangnya dengan pemimpin Pas berhubung isu hudud dan negara Islam.

Pihak sekretariat konvensyen, kata beliau bimbang tentang apa yang bakal diucapkannya pada majlis itu.

"Jika Karpal beri ucapan penutup, bermakna dia akan duduk di sebelah Tok Guru Nik Aziz... apa salahnya... saya bukan sahaja duduk di sebelah Nik Aziz tetapi antara Tok Guru Aziz dan Tok Guru Haji Hadi," kata Karpal yang mendapat tepukan gemuruh dari para perwakilan tiga parti komponen Pakatan Rakyat yang sayangnya kini telah berkubur.

Pada 17 April 2014, Tuan Guru Nik Aziz menulis dalam laman facebooknya mengenang pemergian Karpal Singh di hari yang sama akibat kemalangan jalan raya:

"Saya rakamkan takziah kepada keluarga Yang Berhormat Karpal Singh ... yang telah meninggal dunia akibat kemalangan awal pagi ini. Saya sifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan kepada dunia politik tanah air kerana beliau amat dikenali sebagai seorang yang berprinsip dan sukar digugat pendiriannya.

"Beliau juga merupakan pendokong kuat kepada Perlembagaan Malaysia dan amat tegas dengan pendirian bahawa Malaysia merupakan negara sekular. Sudah tentu prinsip ini amat berbeza dengan prinsip perjuangan PAS dan beliau ternyata menghormati perbezaan ini.

"Saya masih ingat sewaktu ke rumah beliau awal tahun lepas di mana saya diberikan sambutan yang sangat hangat dari beliau. Bahkan beliau menghantar saya pulang rapat ke pintu kenderaan sekalipun situasi beliau yang terpaksa bergerak dengan kerusi roda.

"Saya kira, di sebalik perbezaan pandangan antara kami, sambutan yang diberikan oleh beliau kepada saya sangat-sangat mencerminkan kelembutan beliau dan penerimaannya terhadap hubungan PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat.

"Saya kenal Karpal Singh sebagai seorang yang mendokong kuat Perlembagaan Malaysia dan saya yakin beliau akan terus dikenali begitu di dalam sejarah politik tanah air.

"Di negara ini, jika semua pihak menghormati prinsip yang terkandung di dalam Perlembagaan, Kelantan pastinya tidak akan ditindas dengan pelbagai jenis penindasan..."

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berusaha keras memastikan keharmonian hidup masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini terus terpelihara.

Beliau mengambil perhatian serius terhadap kebajikan kaum dan agama minoriti di negeri di bawah pentadbirannya.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof menukilkan:

"Pada saat segelintir rakyat Malaysia memilih jalan kebencian dan permusuhan dalam isu kalimah Allah, Tok Guru menghulurkan kedamaian dengan berdialog dan hormat menghormati. Malah saya dihubungi oleh pegawai Tok Guru untuk mendapat beberapa maklum balas tentang isu ini kerana Tok Guru mahukan input daripada saya.

"Tok Guru adalah antara penyokong tegar dialog silang agama dan kerana itu apabila satu pertemuan diaturkan oleh Lujnah Perpaduan Nasional PAS untuk bertemu dengan Uskop Katolik Wilayah Utara Bishop Sebastian di Pulau Pinang, Tok Guru tidak teragak-agak menerima temujanji ini.

"Di bilik suite Vistana Hotel Bukit Jambul menjadi saksi pertemuan bersejarah antara Mursyidul Am PAS dan Uskop Katolik memeteraikan harapan untuk kedamaian pada masa hubungan tegang kalimah Allah mewarnai hubungan antara agama di Malaysia.

Tuan Guru Nik Aziz ketika bertemu Uskop Sebastian di sebuah hotel di Pulau Pinang.Tuan Guru Nik Aziz ketika bertemu Uskop Sebastian di sebuah hotel di Pulau Pinang.

"Saya yang berada rapat di sisi Tok Guru masih ingat kata Bishop Sebastian, bahawa Malaysia masih memerlukan kepimpinan Tok Guru yang membekalkan kekuatan spiritual bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga kepada yang bukan Islam.

"Tok Guru tersenyum sambil menyatakan itulah yang beliau harapkan supaya kita hidup berdamai antara sesama kita. Majlis berakhir dengan pemberian kek sempena ulang tahun kehadiran Tok Guru yang kemudian kami namakan sebagai kek kedamaian. Jiwa Tok Guru sentiasa terbuka kepada kedamaian antara agama," tulis bekas Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat itu yang kini memimpin Amanah.

Itulah sebahagian legasi Tuan Guru Nik Aziz yang sukar dilupakan dan jarang wujud pada seorang tokoh Islam negara.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz meletakkan Islam di persada paling tinggi melebihi kecintaan kepada bangsa kerana beliau meyakini bahawa semua manusia adalah sama kerana berasal daripada datuk yang sama iaitu Nabi Adam a.s.

Islam Rahmat Untuk Semua...

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel