Tingkat gaji minima untuk kurangkan buruh asing - Pemuda Amanah

Faiz Fadzil

Kerajaan digesa menaikkan kadar gaji minima kepada RM1,500 bagi menarik minat rakyat khususnya golongan muda bekerja di lapangan 3D (bidang kerja kotor, bahaya dan sukar) sekaligus mengurangkan kebergantungan negara kepada buruh asing.

Faiz Fadzil

Kerajaan digesa menaikkan kadar gaji minima kepada RM1,500 bagi menarik minat rakyat khususnya golongan muda bekerja di lapangan 3D (bidang kerja kotor, bahaya dan sukar) sekaligus mengurangkan kebergantungan negara kepada buruh asing.

Malah Pemuda Amanah menyifatkan keputusan kerajaan untuk mengambil 1.5 juta warga Bangladesh bagi bekerja di negara ini atas alasan rakyat terutama belia tidak berminat untuk bekerja di lapangan kerja 3D adalah menjengkelkan.

"Usahlah perlekeh kemampuan rakyat Malaysia. Rakyat negara ini bukannya berasal dari kutub utara yang tidak biasa dengan cuaca panas dan habuk, mahupun tanah ataupun daun kering.

"Pertanian adalah sektor ekonomi asal negara ini. Rakyat Malaysia juga punyai kekuatan fizikal yang setanding dengan orang Bangladesh untuk terlibat dalam sektor pembinaan.

"Namun, apakah masalah utama yang mendorong kurangnya minat warga tempatan untuk terlibat dalam pekerjaan di sektor perladangan dan pembinaan?" soal Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil.

Menurut beliau, masalah utama yang mengurangkan penglibatan rakyat tempatan dalam sektor 3D adalah  gaji yang rendah.

"Sebab itulah, tuntutan gaji minima sebanyak RM1,500 jika diluluskan akan dapat menarik minat rakyat negara ini untuk bekerja 3D.

"Hanya orang luar seperti warga Bangladesh yang sanggup menerima bayaran gaji rendah kerana jumlah yang diterima di negara ini adalah satu nilai yang besar di negara mereka," ujarnya.

Pekerja asing di negara ini, kata beliau sanggup tinggal berhimpit-himpit di rumah kongsi, tidak menggunakan kenderaan untuk ke tempat kerja, tidak perlu membayar hutang rumah dan menampung pendidikan anak-anak.

Situasi ini, jelas Faiz berbeza dengan rakyat tempatan yang kini terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, harga rumah yang mahal, kos pengangkutan seperti minyak, tol dan tambang yang meningkat, serta harga barangan yang mahal akibat pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Oleh itu, alasan yang diberikan kerajaan adalah meleset umpama membandingkan oren dengan epal," katanya.

Menurut beliau, terdapat rakyat negara ini yang bekerja di sektor 3D di luar negara khususnya Singapura kerana gaji yang diterima berpatutan.

"Rata-rata rakyat yang bekerja di sana terlibat dalam sektor pembinaan. Bukankah ia kerja 3D. Namun kerana gaji yang tinggi, mereka sanggup berulang alik ke Singapura bagi mencari pendapatan lebih bagi menampung kos sara hidup yang tinggi di negara ini," ujarnya.

Beliau menambah, kenaikan gaji minima kepada RM1,500 mampu dilaksanakan jika kerajaan dapat mengurangkan kos pengurusan sektor korporat seperti menurunkan cukai korporat, mengurangkan harga barang, minyak dan tarif elektrik serta membatalkan GST.

"Jika ini dapat dilaksanakan, syarikat-syarikat terutama sektor SME (perusahaan kecil dan sederhana) mampu membayar gaji minima yang dituntut ini," jelas beliau.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: