• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Laksanakan segera 'kerajaan teknokrat' di Kelantan, gesa Mahfuz

Mahfuz Omar Mahfuz Omar Cadangan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya 'kerajaan teknokrat' dilaksanakan di peringkat persekutuan disambut baik ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau lantas menyarankan agar idea asal Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dilaksanakan di Kelantan, negeri yang ditadbir Pas.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Mahfuz berkata cadangan Abdul Hadi yang diangkat semula oleh Tuan Ibrahim adalah sangat praktikal dalam menangani kelemahan dan kegagalan pemain politik yang tidak mempunyai latar belakang berkemampuan menguruskan negara dan negeri.

"Idea ini menggambarkan kepimpinan kerajaan tidak boleh hanya bersandarkan kepada berlatarbelakangkan satu-satu disiplin ilmu semata-mata termasuk pengajian Islam.

"Idea ini mengambarkan kepercayaan dan penghormatan Pas kepada golongan teknokrat profesional. Mengurus kerajaan sesebuah negara dan negeri kini makin kompleks memerlukan keupayaan merencana pembangunan ekonomi yang makin mencabar," katanya.

Bagaimanapun Yang Dipertua Pas Pokok Sena itu yakin cadangan yang baik ini sukar diterima 'pemimpin politik bebal' seperti Najib dan Umno/BN.

Ini katanya disebabkan 'pemimpin politik bebal' melihat perlantikan dan memperolehi apa-apa jawatan dalam kerajaan seperti mendapat lombong emas.

"Ini yang sedang berlaku di dalam negara. Perebutan untuk menduduki apa-apa jawatan dalam kerajaan di kalangan pemimpin politik, sedangkan negara dan negeri terabai serta rakyat menanggung penderitaan yang sangat malang," kesal beliau.

Menurut beliau, cadangan Abd Hadi itu tidak boleh dibiar berlalu tanpa contoh yang praktikal untuk meyakinkan rakyat tentang idea politik baru dan matang.

Oleh itu, beliau mengharapkan pemimpin Pas akan meneroka perlaksanaannya di Kelantan dengan meminda perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri Kelantan bagi membolehkan kuasa politik yang diperolehi dalam pilihan raya digunakan untuk melantik Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri daripada kalangan profesional dan bukan daripada kalangan Adun dengan berasaskan kelulusan akademik untuk mentadbir dan membangun negeri Kelantan.

"Ini akan menjadikan Kelantan terus menjadi guru politik Malaysia. Jika tiada usaha untuk Kelantan melaksanakannya, ini akan dilihat cadangan tersebut hanya sekadar permainan di bibir sahaja," ujarnya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: