Biar parti politik berbeza, singkirkan Najib untuk selamatkan Malaysia

Salahuddin Ayub3Salahuddin Ayub3

Tumpuan harus diberi terhadap usaha memastikan Datuk Seri Najib Razak berundur dengan melepaskan jawatan Perdana Menteri pada kadar segera, tegas Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.

Ujarnya, usaha bagi tujuan menyelamatkan Malaysia daripada terus terjebak dalam pelbagai masalah dan kepincangan perlu melibatkan sokongan semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

“Kita yakin dan percaya dengan menjatuhkan Najib dan BN saja rakyat dapat melaksanakan agenda reformasi dalam ekonomi, politik dan sosial di negara ini. Kita mahu menggunakan saluran demokrasi supaya Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

“Walau berbeza parti politik tetapi tentunya kita mahu melihat perubahan lebih baik buat tanah air kita dan tentunya kepada generasi masa depan,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline, hari ini.

Mengulas pidato pemimpin Pas, Datuk Husam Musa dalam pelancaran kempen Selamatkan Malaysia di Kulai, 27 Februari lalu, beliau berkata, gagasan besar melibatkan gabungan banyak pihak termasuk agamawan, ahli akademik, NGO dan aktivis itu, satu langkah permulaan bagi mencapai hasrat Malaysia yang lebih baik dan sejahtera pada masa depan.

“Sambutan orang ramai begitu menggalakkan. Bahkan difahamkan, ahli dan penyokong Pas, Umno serta mereka yang di atas pagar juga turut hadir. Sebabnya, kita semua tidak mahu Malaysia terus terdedah kepada ancaman bahaya akibat salah guna dan penyelewengan kuasa kepimpinan sedia ada.

“Kita mahu kempen Selamatkan Malaysia menjadi satu fenomena. Rakyat mahu melihat satu perubahan besar kepada negara. Bukan hanya disuarakan pihak pembangkang tetapi termasuk daripada tokoh pemimpin Umno serta bekas pegawai tinggi kerajaan,” tambahnya.

Ditanya tentang poster daripada pihak Pas yang viral di media sosial juga menggunakan ungkapan ‘Selamatkan Malaysia’, beliau menyambut baik kesedaran parti yang dipimpin oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu kerana kempen berkenaan bertujuan untuk menyelamatkan negara bukannya parti politik semata-mata.

“Untuk selamatkan Malaysia, lupakan perbezaan parti politik. Namun, kalau Presiden (Pas) pun sudah begitu, mahu bersendirian apa boleh buat. Biarlah mereka dalam dunia mereka,” jawab Salahuddin ringkas.

Jawatankuasa Kempen Selamatkan Malaysia dipengerusikan Mazlan Aliman dengan penglibatan semua pihak tanpa mengira latar belakang politik, agama dan kaum bagi mengembalikan Malaysia diurus tadbir secara telus oleh pemimpin yang berintegriti.

Hampir 1,000 peserta hadir dalam pelancaran kempen Selamatkan Malaysia di Kulai, Sabtu lalu termasuk artis tempatan seperti Abby Abadi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: