Anwar akan wakili dirinya dalam semua kes mahkamah

Anwar hadir ke mahkamah dengan kawalan ketat polis.Anwar hadir ke mahkamah dengan kawalan ketat polis.

Ekoran akses yang terhad dengan para peguamnya, bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai pilihan kecuali mewakili dirinya sendiri dalam 16 kes mahkamah membabitkan dirinya mulai esok.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, peguam beliau N Surendran dan Latheefa Koya berkata, kaedah itu terpaksa diambil selepas Penjara Sungai Buloh mengehadkan kehadiran peguam kepada seminggu sekali untuk masa hanya sejam sedangkan Anwar terlibat dalam 16 kes sivil dan jenayah.

"Kami telah beberapa kali membuat bantahan bertulis kepada Pengarah Penjara Sungai Buloh dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tetapi tidak berhasil," kenyataan itu dipetik.

Ekoran daripada itu, para peguam Anwar tidak dapat menasihati beliau secara sempurna dan membuat persediaan terhadap beberapa kes mahkamah.

Keadaan ini kata Surendran dan Latheefa menyebabkan Anwar tidak mempunyai pilihan untuk mewakili diri sendiri di mahkamah tanpa mendapatkan khidmat guaman.

Dokumen berkaitan keputusan Anwar itu telah pun difailkan ke mahkamah oleh Anwar termasuk kes rayuan sivil berhubung fitnah di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, esok.

"Dalam beberapa kes tertentu kami masih mewakili Anwar, (namun ia) bergantung kepada akses yang terhad oleh pihak berkuasa," ujar para peguam Anwar.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel