• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Najib dan kabinet tidak hormati Tun Mahathir sebagai negarawan

Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad ShahRaja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah

Keputusan kabinet melucutkan jawatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat syarikat minyak negara, Petronas disifatkan sebagai tidak menghormati beliau sebagai negarawan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menyifatkan tindakan itu sebagai 'amat mendukacitakan' memandang jasa Tun Mahathir sebagai perdana menteri selama lebih 20 tahun.

"Lagi pun Tun dah 90 tahun lebih dan kurang sopan buat demikian kepada seorang yang berumur. Tun (Mahathir) hanya penasihat dan nasihatnya tidak perlu diminta atau dipakai jika tidak perlu.

"Dia bukan CEO (ketua pegawai eksekutif) atau ada kuasa eksekutif. Ini bertentangan dengan adat sopan Islam dan Melayu (yang) menjaga aib warga berumur apatah lagi seperti Tun (Mahathir) yang mempunyai nama di peringkat antarabangsa," ujar beliau.

Raja Kamarul Bahrin juga hairan dengan tindakan kerajaan yang sanggup menerima pemimpin parti yang 'sering bertukar pendirian' untuk menjadi penasihat namun menamatkan khidmat Tun Mahathir yang dikenali masyarakat antarabangsa.

Keputusan kabinet ini, ujarnya jelas menunjukan justifikasi perlantikan Umno selama ini berasaskan kepentingan politik semata-mata dan bukan berasaskan kebolehan dan meritokrasi.

"Sehebat-hebat kecaman Bapa Kemerdekaan Almarhum Tunku Abdul Rahman terhadap Tun Mahathir, saya tidak ingat ada tindakan keras diambil olih Tun kerana memandang jasa Tunku kepada Umno dan Malaysia sambil mengenang usia lanjut Tunku pada masa itu," ujarnya.

Raja Kamarul Bahrin juga khuatir pelucutan jawatan Tun Mahathir akan memburukkan lagi nama Malaysia di mata dunia sekaligus menarik simpati terhadap bekas Perdana Menteri itu dan gerakan Selamatkan Malaysia.

Beliau juga menggesa pemimpin Umno agar mencontohi sikap bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang masih menghormati Tun Mahathir sebagai tokoh politik walaupun tidak bersetuju dengan bekas Presiden Umno itu dalam banyak isu.

"Inilah sikap menghormati ketokohan lawan walaupun berbeza pendapat. Inilah sikap pemimpin negarawan," ujarnya.

Pengerusi Amanah Terengganu itu juga menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai tidak mempunyai sikap terpuji untuk menghormati lawan, menghormati pemimpin yang lebih tua dan mengenang jasa mereka yang mengangkatnya sebagai Perdana Menteri.

"Najib bukan seorang negarawan dan jauh sekali seorang pemimpin berprinsip untuk memimpin Malaysia. Kerana itu kita harus meneruskan perjuangan 'Selamatkan Malaysia' dari kerakusan Najib," ujarnya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: