Amanah umum solidariti bersama Syed Saddiq, gesa UIAM benar pelajar berpolitik

Ahmad Fadhli Umar AminolhudaAhmad Fadhli Umar Aminolhuda

Mahasiswa Amanah menzahirkan solidariti dengan pendebat terbaik Asia, Saddiq Syed Abdul Rahman dan mendesak peraturan disiplin Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dipinda selaras dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang membenarkan pelajar-pelajar terlibat dalam politik.

Pengerusi Mahasiswa Amanah, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda berkata, pihaknya memandang serius surat pekeliling UIAM bertarikh 15 Mac 2016 berhubung isu etika dan tatatertib pendebat UIAM, khususnya yang mewakili universiti ke pertandingan debat peringkat antarabangsa.

"Mahasiswa Amanah melihat bahawa surat atau pekeliling ini dikeluarkan sebagai respon kepada sebuah portal politik yang menyiarkan gambar salah seorang pendebat iaitu Syed Saddiq di Manila beberapa tahun lepas.

Syed Saddiq Syed Abdul RahmanSyed Saddiq Syed Abdul Rahman"Jelas bahawa pengeluaran surat atau pekeliling UIAM ini merupakan serangan politik, apatah lagi dengan tujuan portal tersebut menyiarkan gambar-gambar tersebut semata-mata untuk menjatuhkan kredibiliti Syed Saddiq.

"Dalam perenggan terakhir surat pekeliling tersebut, menyebut bahawa pihak universiti akan melihat untuk melakukan apa-apa tindakan yang sewajarnya kepada mahasiswa-mahasiswa yang terlibat," ujar Fadhli dalam satu kenyataan media hari ini.

Syed Saddiq menjadi mangsa serangan blogger pro-Umno apabila pelajar UIAM itu hadir menandatangani Deklarasi Rakyat yang menggesa Perdana Menteri meletakkan jawatan dan reformasi sistem pentadbiran negara disegerakan.

Pendebat terbaik Asia itu mendakwa foto-foto yang disebarkan di media sosial yang menggambarkan beliau seorang kaki disko, kaki mabuk dan kaki perempuan bertujuan mengaibkan beliau sekaligus mengugutnya agar tidak mencampuri urusan politik.

Mengulas lanjut, Fadhli mempersoalkan tindakan UIAM itu sedangkan insiden membabitkan Syed Saddiq berlaku tiga tahun lalu.

"Adakah pihak pengiring debat gagal mengawal dengan baik para pendebat kita?" soal beliau.

Menurut Fadhli, UIAM ditubuhkan berdasarkan Akta Syarikat 1965 dan mempunyai sedikit kelainan berbanding IPTA yang tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Tambah beliau, UIAM mempunyai undang-undang dan peraturan seumpama AUKU khasnya berkaitan tatatertib dan disiplin pelajar melalui IIUM Students Disciplinary Rules 2004.

Bagaimanapun beliau menyifatkan peraturan pelajar UIAM yang kali terakhir dipinda pada 2006 lebih kejam dan bersifat drakonian berbanding AUKU khasnya berkaitan penglibatan mahasiswa dalam politik luar kampus.

"Mahasiswa Amanah berpendirian bahawa surat pekeliling ini - yang disertakan dengan perenggan mengenai "Tindakan" - adalah berniat jahat yang dikeluarkan pihak universiti semata-mata untuk mendiamkan seluruh mahasiswa khususnya Syed Saddiq yang seringkali mengeluarkan pendapat bertentangan dengan kerajaan...

"Ini merupakan taktik mengekang mahasiswa berfikir dan memberikan pendapat secara terbuka sekaligus menakut-nakutkan mahasiswa dengan pelbagai tindakan tatatertib universiti," tegasnya.


Sehubungan itu Mahasiswa Amanah, ujar Fadhli berikrar akan terus bersolidariti bersama Syed Saddiq dan mana-mana mahasiswa yang diancam serta diugut untuk dikenakan apa-apa tindakan tatatertib hanya kerana bersuara sebagaimana dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

"Kami percaya bahawa universiti seharusnya menjadi satu institusi yang meriah dengan pelbagai pandangan dan pendapat sekaligus menaikkan martabat universiti sebagai medan diskusi dan bersuara," ujar beliau.


Mahasiwa Amanah, tegas beliau mengingatkan pentadbir universiti awam supaya tidak secara berwewenang menggantung pelajar seperti dalam kes #UIA2, #UM8 dan sebagainya.

"Usah menunggang dunia dan lapangan intelektual semata-mata demi kepentingan politik sempit pentadbir universiti!" ujar beliau.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: