TH kedua perlu untuk tingkat kebajikan jemaah haji, kata Salahuddin

Salahuddin AyubSalahuddin AyubKetika dihubungi Malaysia Dateline, Salahuddin berkata penubuhan TH kedua yang berteraskan kebajikan semakin mendesak memandangkan TH sedia ada lebih bercirikan perniagaan.

Kewujudan dua badan pengendali haji juga, tambah beliau mewujudkan persaingan yang sihat malah membantu meningkatkan pegangan ekuiti umat Islam dalam ekonomi negara.

"TH yang baru juga boleh menjadi penanda aras (benchmarking) kepada pengurusan TH sedia ada yang kini menghadapi pelbagai kemelut yang menggugat keyakinan pelabur dan pencarum," tegasnya.


Salahuddin menambah, pengurusan TH sekarang dilihat sudah menyimpang daripada matlamat asal untuk memberi kemudahan kepada jemaah haji malah menguatkuasakan peraturan yang tidak memihak kepada bakal jemaah seperti sistem kuota haji yang meragukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, Isnin lalu menyebut pencarum TH yang mengeluarkan deposit daftar haji berjumlah RM1300 bersama wang simpanan akan kehilangan giliran menunaikan haji dan mungkin terpaksa menunggu sehingga 70 tahun apabila membuat pendaftaran baharu.

Salahuddin menambah, campur tangan politik dalam pengurusan TH sekarang mengakibatkan institusi itu terlibat dalam pelaburan yang tidak menguntungkan seperti isu pembelian plot tanah projek Tun Razak Exchange (TRX) milik 1MDB.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan TH kedua perlu diberikan autonomi, diuruskan secara profesional dan bebas daripada campur tangan politik.

Pihak pengurusan TH kedua juga perlu diberikan kebebasan menguruskan jemaah haji termasuk urusan penerbangan para jemaah.

"Saya diberitahu bahawa kos menunaikan haji negara kita lebih tinggi berbanding negara-negara lain. Jika TH kedua diwujudkan, ia boleh membantu mengurangkan pergantungan kepada TH sedia ada sekaligus mewujudkan persaingan sihat," katanya.

Kewujudan dua institusi pengendali haji juga, tambah beliau mampu meningkatkan mutu perkhidmatan jemaah haji sekaligus membela kebajikan para jemaah.

Sebelum ini, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyarankan kerajaan mewujudkan TH kedua untuk mengelakkan berlaku monopoli sumber kewangan selain memperkasakan perkhidmatan pengurusan haji agar kompetitif dan efisien.

PPIM ujar beliau pernah menyarankan kerajaan melaksanakan idea ini lima tahun lalu namun tidak menerima sebarang maklum balas.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: